POLIS Kelantan menafikan laluan ke Kota Bharu hanya dibuka bermula dari 8 pagi hingga 1 tengah hari bermula hari ini.
Ketua Polis Kelantan Hasanuddin Hassan berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan sebegitu walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa kedua yang berlangsung dari 1 April hingga 14 April ini lebih ketat berbanding yang pertama.
“Saya menafikan berita palsu yang tular di aplikasi WhatsApp ketika ini. Kita masih mengekalkan 36 sekatan jalan raya di seluruh negeri walaupun tahap pematuhan di Kelantan turun kepada 95% semalam berbanding 96% pada Ahad lepas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hari ini tular di aplikasi WhatsApp yang mendakwa kononnya bandar Kota Bharu hanya boleh dimasuki bermula dari 8 pagi hingga 1 tengah hari sahaja, selain tindakan keras akan diambil sekiranya melanggar arahan berkenaan kecuali ada surat daripada majikan. – Bernama, 9 April, 2020.
Komen