POLIS mengeluarkan kompaun RM1,000 terhadap 95 orang orang kerana melanggar perintah kawalan pergerakan, kata menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob.
Ia susulan penguatkuasaan tindakan kompaun sebagai ganti pendakwaan di mahkamah dan hukuman penjara yang dikritik oleh pelbagai pihak.
Ismail, yang juga menteri pertahanan, berkata mereka yang melanggar PKP sejak semalam dibawa ke balai polis dan diberikan kompaun.
“Bayaran kompaun perlu diselesaikan di Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh 2 minggu selepas tarikh ia dikeluarkan.
“Mereka yang gagal membayar kompaun akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini, memaklumkan perkembangan penguatkuasaan PKP di seluruh negara.
Semalam, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Acryl Sani Abdullah Sani mengumumkan kaedah kompaun itu dikeluarkan mengikut peruntukan di bawah Akta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Seksyen 25 akta itu memberi kuasa kepada ketua pengarah kesihatan atau mana-mana pegawai awam yang diberi kuasa secara bertulis untuk mengkompaun kesalahan di bawah PKP dengan jumlah tidak lebih RM1,000.
Sebelum ini, mereka yang melanggar PKP ditahan dan sekiranya ada kes, mereka yang dituduh dihadapkan ke mahkamah.
Sementara itu, Acryl memberitahu kesalahan yang dikenakan kompaun semalam paling banyak berlaku di Perlis dan Selangor, masing-masing 21 dan 23 kes.
Di Negeri Sembilan terdapat 15 kes, sementara kes-kes lain dilakukan di Kedah (8), Sarawak (7), Perak (6), Pulau Pinang (5), Melaka dan Kelantan (4), serta Pahang (2).
Semalam, Acryl juga berkata pihak berkuasa tidak akan menawarkan diskaun untuk notis kompaun kesalahan melanggar PKP.
97% patuh PKP
Dalam sidang medianya, Ismail juga menjelaskan kadar pematuhan PKP setakat ini ialah 97% peratus.
Sehingga semalam juga pihak polis dan tentera telah mengadakan 769 sekatan jalan raya dan memeriksa 433,988 kenderaan.
Operasi sekatan jalan raya di seluruh juga kini dibantu oleh Jabatan Pendaftaran Jalan Raya (JPJ), katanya.
Sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, sehingga semalam pihak berkuasa telah menahan 7,205 orang kerana melanggar perintah itu. – 9 April, 2020.
Komen