AGENSI anti rasuah sedang cuba mendapatkan dokumen bank milik Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi membantu siasatan menjejaki punca wang tunai kira-kira RM250,000 yang dilaporkan hilang di rumah bekas menteri itu pada hujung bulan lalu.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu pihak mereka dan Syed Saddiq sama-sama berdepan masalah untuk mendapatkan dokumen yang diperlukan kerana pelbagai halangan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Syed Saddiq dan kedua-dua ibu bapanya juga sudah dipanggil untuk disoal siasat berhubung kehilangan wang itu, katanya.
“Mereka dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya Jumaat lalu. Kita siasat punca wang RM250,000 itu.
“Alasannya, wang itu adalah pemberian ibu bapanya sebab itu mereka dipanggil sekali.
“Kini kami dalam usaha untuk mendapatkan dokumen bank Syed Saddiq untuk siasatan lanjut,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Pada 31 Mac lalu, SPRM memaklumkan ia membuka satu kertas siasatan terhadap Syed Saddiq selepas bekas menteri itu membuat laporan kehilangan wang tunai RM250,000 yang disimpan di rumahnya.
Siasatan dibuka selepas SPRM menerima aduan berhubung mengenai wang tersebut yang dilaporkan sebagai “pemilikan yang meragukan”.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 17(a) yang berkaitan penerimaan suapan,” kata sumber.
Syed Saddiq membuat laporan polis pada 29 Mac di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, mengatakan wang dalam simpanan di peti keselamatan di rumahnya hilang.
Beliau berkata hanya beberapa orang tahu kod peti itu, yang jelasnya kali terakhir beliau buka pada 13 atau 14 Mac.
Syed Saddiq, yang juga ketua Pemuda Bersatu, kemudian turut menjelaskan wang berkenaan bukan milik parti. – 9 April, 2020.
Komen