iflix buang pekerja kerana Covid-19


Ravin Palanisamy

PEMBEKAL hiburan digital terbesar Asia Tenggara iflix terpaksa membuang sejumlah pekerjanya bagi membolehkan syarikat terus bertahan berdepan wabak Covid-19, kata CEO Marc Barnett.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah pekerja yang dibuang. Syarikat itu mempunyai sekitar 400 orang pekerja.

Syarikat itu yang berpengkalan di Kuala Lumpur kini bertapak di 13 buah pasaran di Asia termasuklah Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand.

“Industri ini tidak kebal dengan keadaan yang tidak pernah berlaku ini.

“Keputusan kami untuk mengurangkan jumlah tenaga syarikat dibuat selepas pertimbangan teliti dan serentak dengan langkah pengurangan kos lain bagi membolehkan syarikat bertahan dalam tempoh yang tidak menentu dan tiada kepastian ini.

“Tumpuan kami kekal untuk memacu perniagaan melalui pusingan balik modal pada 2021 dan langkah ini untuk memastikan kami kekal dalam laluan dan boleh mengemudi cabaran semasa,” kata Barnett kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, syarikat yang beroperasi sejak 2014 itu akan berusaha sebaik mungkin menyokong pekerja yang terjejas.

Dipercayai lebih 50 pekerja sudah dibuang. Syarikat juga berdepan masalah pembayaran hutang menjelang tarikh akhirnya untuk penyenaraian saham awam pada Julai depan.

Dalam surat kepada pemegang kepentingan syarikat, Barnett melaporkan pengguna aktif bulanan mencecah rekod tertinggi seramai 21 juta orang, naik 42% sejak awal tahun ini. Iflix juga mencapai sasaran keuntungan untuk suku pertama tahun 2020.

Seorang jurucakap syarikat memberitahu The Malaysian Insight yang iflix juga sudah melanjutkan pas VIP percuma untuk semua penggunanya sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan dilaksana.

Pas percuma ini termasuklah akses tanpa had semua kandungan iflix.

Tindakan ini secara langsung menjejaskan keuntungan syarikat.

Julai tahun lepas, iflix mengumumkan peringkat akhir untuk pusingan baharu pelaburan pemacu pertumbuhan menjelang penyenaraian dalam pasaran saham syarikat dilakukannya.

Kejayaan pusingan pembiayaan itu memberikan lonjakan kepada strategi pertumbuhan iflix dan meningkatkan jumlah pengguna aktif yang melepasi 17 juta pada Mei 2019.

Bagaimanapun, mengikut maklumat kewangan difailkan dengan Suruhanjaya Pelaburan dan Sekuriti Austarlia pada September 2019, iflix mungkin hanya boleh menebus lebih kurang AS$47.5 juta pinjaman boleh ubah jika masih tidak tersenarai pada 31 Julai 2020.

DealStreetAsia pada Januari melaporkan yang rancangan awal penyenaraian pasaran saham di Australia sudah ditunda dan iflix sedang berusaha menjana dana AS$50 juta daripada pelabur sedia ada. – 9 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen