PRESIDEN Zimbabwe, Robert Mugabe dipecat daripada jawatan ketua ZANU-PF oleh partinya sendiri dan digantikan oleh naib presiden yang beliau singkirkan daripada Kabinet awal bulan ini, Emmerson Mnangagwa, lapor Reuters.
Mugabe dipecat selepas semua bahagian parti itu dari 10 wilayah di Zimbabwe meluluskan usul tidak percaya terhadapnya.
Mugabe dari segi teknikal kekal sebagai presiden Zimbabwe, namun membilang hari-hari akhir kerana tidak lagi berkuasa dalam parti pemerintah.
Mugabe menjadi presiden negara itu selama 37 tahun, sejak 1987.
ZANU-PF turut memecat isteri Mugabe, Grace, yang sangat tidak popular di Zimbabwe dan dituduh mengambil kesempatan atas keuzuran Mugabe untuk merompak harta negara.
Pemimpin veteran perang Zimbabwe sebelum itu memberi amaran akan menggerakkan rakyat untuk menggunakan jalan kekerasan sekiranya Mugabe, 93, enggan meletakkan jawatan presiden.
Ketua bekas tentera, Chris Mutsvangwa berkata lebihlah elok Mugabe “mengaku kalah” dan meletak jawatan bagi mengelak kemungkinan rakyat terbunuh ditembak tentera kerana mahu mempertahankannya.
“Pilihan ada pada tangannya,” kata Mutsvangwa, kepada mesyuarat ZANU-PF.
Penyingkiran Mnangagwa pada 6 November lepas mencetuskan kebangkitan tentera yang membawa kepada tindakan tahanan rumah ke atas Mugabe sejak 15 November.
Media antarabangsa yang membuat liputan di Harare melaporkan perkembangan politik di Zimbabwe kini “masuk ke babak akhir” .
Sekiranya Mugabe tidak meletakkan jawatan, Parlimen dijangka akan menyingkirkan beliau seawal-awalnya Selasa ini apabila ia bersidang, lapor Sky News.
Mugabe dilaporkan enggan makan sejak semalam.
Anak saudaranya memberitahu Reuters, Mugabe dan Grace “sedia mati demi kebenaran” dan sama sekali tiada hasrat untuk meletakkan jawatan.
Patrick Zhuwao yang dihubungi dari lokasi rahsia di Afrika Selatan berkata Mugabe tidak nyenyak tidur sejak rampasan kuasa tentera pada Rabu lalu. – 19 November 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan