Umno tak perlu minta maaf kepada sesiapa, kata Hishammuddin


Ikhwan Zulkaflee

Naib Presiden Umno, Hishammuddin Hussein berkata kerajaan BN berjaya meraih banyak kejayaan walaupun sering dinafikan sesetengah pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2017.

UMNO menegaskan ia tidak berasa kesal atau perlu meminta maaf kepada mana-mana pihak sepanjang tempoh ia mengetuai Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir negara.

Naib Presiden Umno, Hishammuddin Hussein berkata kerajaan BN berjaya meraih banyak kejayaan walaupun sering dinafikan sesetengah pihak.

“Kita tak perlu apologetic dalam memimpin negara. Tidak perlu ikut rentak nada di luar sana. Semakin dekat dengan plihan raya, semakin banyak isu akan dibangkitkan untuk melaga-lagakan pimpinan kita.

“Benda yang tak wujud pun direka-reka. Kejayaan kementerian-kementerian kita diremeh dan dilekehkan dan kita pun terikut dengan rentak dia,” katanya semasa berucap pada majlis penutup Konvensyen Pemerkasaan Ummah 3.0 anjuran Biro Perlembagaan dan Perundangan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau turut menyatakan Pakatan Harapan (PH) bukan pilihan terbaik untuk menggantikan BN memandangkan barisan pimpinannya yang berkecamuk.

“Pembangkang ini pilihankah? Adakah ia satu alternatif? Berkecamuk.”

Bagaimanapun, Hishammuddin mengingatkan ahli Umno yang hadir agar tidak terlalu selesa dengan masalah dihadapi PH kerana ia tidak bermaksud Umno diterima rakyat.

“Itu realitinya, ia tak bermakna Umno kuat. Masalah mereka (PH) tak bermakna kita boleh diterima oleh rakyat.

“Sebab itu kita perlu siap dalam perjuangan kita mesti bersandarkan gerak kerja yang betul-betul dapat menbantu rakyat,” katanya dan menambah Umno perlu mengatur langkah proaktif membantu rakyat.  

Ahli Parlimen Sembrong itu turut mengenang nasib arwah datuknya, Onn Jaafar, yang ditolak keluar Umno oleh ahli parti yang diasaskannya itu.

“Tapi beliau tidak porak-peranda negara kita. Tak pernah minta siswa-siswi mengamuk di tengah jalan. Malah ucapan terakhirnya untuk Umno ialah supaya orang Umno jaga parti keramat ini dengan baik.

“Ada pemimpin yang pimpin kita puluhan tahun tapi ‘U-turn’ sampai pening saya tengok. Apa sudah jadi dengan hujah dia sebelum ini, perjuangan dalam Umno, perjuangan untuk Melayu dan Islam?

“Yang dia tuduh dulu pembangkang tapi kini sudah duduk semeja,” katanya.

Pada konvensyen itu, seramai 1,512 peserta hadir yang menyaksikan tujuh resolusi diluluskan termasuklah menggesa kerajaan meneruskan agenda mendampingi rakyat dengan subsidi secara langsung dan tidak langsung serta mengupayakan ekonomi Bumiputera dalam persekitaran global yang semakin kompetitif. – 19 November, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Umno memang tak perlu minta maaf, rakyat yg akan menghukum umno dan undang2 akan menghukum pemimpin Umno..jd bersiap sedia la.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ali Along · Ulasan