KKM kesan sub kluster tabligh di Rembau


Chan Kok Leong

Seramai 27 orang dikenal pasti positif Covid-19 di Rembau setakat 12 tengah hari tadi, kata Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan mengesan satu sub kluster di Rembau, Negeri Sembilan yang ada kaitan dengan perhimpunan tabligh Masjid Sri Petaling, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata hasil pemeriksaan kementerian mendapati kluster tersebut membabitkan kakitangan sekolah yang kemudian tersebar di beberapa lokaliti dalam daerah Rembau iaitu Pedas, Pilin, Kundur dan Batu Hampar.

Seramai 27 orang dikenal pasti positif Covid-19 termasuk dua kes yang dirawat di Unit Rawatan Intensif (ICU), setakat 12 tengah hari tadi, tambah beliau.

“Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian Covid-19 adalah positif bagi beberapa guru di sebuah sekolah. 

“Penularan ini dipercayai berpunca daripada satu mesyuarat yang diadakan di sekolah berkenaan di mana ianya telah dihadiri oleh kes indeks iaitu kes ke-448 yang merupakan salah seorang peserta perhimpunan di Seri Petaling,” kata Dr Noor Hisham dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling berlangsung dari 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

KKM menganggarkan 14,500 rakyat Malaysia dan 1,500 warga asing hadir pada perhimpunan berkenaan.

Dr Noor Hisham berkata guru-guru dan kakitangan sekolah yang dijangkiti kemudian menjangkiti ahli keluarga mereka dan penduduk kampung sehingga membentuk 3 generasi jangkitan.

“Siasatan juga mendapati wujud aktiviti saling berkunjung ke rumah saudara untuk melawat ahli keluarga yang tidak sihat, walaupun negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata beliau. – 8 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen