Laporan indeks jenayah menurun di seluruh negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Acryl Sani Abdullah Sani.
Menurutnya dalam tempoh 18 Mac hingga 7 April secara purata kadar indeks jenayah harian adalah 116 kes berbanding 350 kes pada hari biasa.
“Apabila kebanyakan orang berada di rumah, semestinya peluang tinggi untuk kadar jenayah menurun dan sasaran juga sudah dijauhkan daripada penjenayah.
“Kami juga mengadakan 750 sekatan jalan setiap hari untuk tempoh 24 jam. Sekiranya jenayah berlaku, ia adalah mudah untuk kami salurkan maklumat dan berada dalam keadaan siap siaga,” katanya.
Walaupun senario ini bersesuaian, Acryl berkata polis juga harus mempertimbangkan sama ada praktikal sepanjang masa diberikan tenaga kerja dan sumber.
“Mereka yang bertugas di jalan raya juga diberitahu untuk memeriksa penghantar makanan kerana terdapat maklumat yang sebahagiannya membawa rokok seludup.
“Kami mengingatkan semua anggota polis di seluruh negara untuk mengetahui keadaan ini dan periksa penunggang secara rawak.
“Lebih penting untuk diperiksa sekiranya mereka menerima maklumat atau risikan,” katanya.
Semasa PKP katanya, anggota polis juga ditugaskan untuk meronda kawasan kediaman melalui unit rondaan mudah alih dan unit rondaan motosikal.
“Kami mahu memeriksa sama ada rakyat mematuhi PKP kerana mereka yang tidak terlibat dalam perkhidmatan penting mestilah tinggal di rumah.
“Sebagai contoh, seorang penduduk mungkin berhujah bahawa dia berjoging bersendirian di kawasan perumahan tetapi jika semua penduduk berfikir seperti itu maka ia akan mengalahkan tujuan PKP,” kata Acryl.
Beliau juga mengingatkan orang ramai bahawa hanya seorang bagi setiap kenderaan dibenarkan keluar membeli barang keperluan atau ke bank melainkan jika ia ada sebab perubatan atau kecemasan. – 8 April, 2020.
Komen