Langgar PKP kompaun RM1,000 mulai hari ini, kata Bukit Aman


Kalidevi Mogan Kumarappa

Notis kompaun tidak akan dikeluarkan di sekatan jalan raya sebaliknya mereka yang terlibat akan dibawa ke balai polis atau ibu pejabat polis daerah untuk diberikan notis tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2020.

POLIS akan mula mengeluarkan notis kompaun RM1,000 terhadap mana-mana pihak yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Acryl Sani Abdullah Sani.

Semua kompaun itu perlu diselesaikan di pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia, katanya.

“Kami akan mula mengeluarkan notis kompaun bermula hari ini, denda permulaan adalah satu ribu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Pengeluaran notis kompaun itu selaras dengan peruntukan di bawah Akta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, tambahnya.

Seksyen 25 akta itu memberi kuasa kepada ketua pengarah kesihatan atau mana-mana pegawai awam yang diberi kuasa secara bertulis untuk mengkompaun kesalahan di bawah PKP dengan jumlah tidak lebih RM1,000.

Sebelum ini, mereka yang melanggar PKP ditahan dan sekiranya ada kes, mereka yang dituduh dihadapkan ke mahkamah.

Jelas Acryl, notis kompaun itu tidak akan dikeluarkan di sekatan jalan raya sebaliknya mereka yang terlibat akan dibawa ke balai polis atau ibu pejabat polis daerah untuk diberikan notis tersebut.

“Sekiranya, pesalah gagal membayar kompaun dalam tempoh dua minggu mereka akan dihadapkan ke mahkamah,” tambahnya.

Ditanya sama ada diskaun diberikan kepada pesalah, Acryl menyatakan tiada penawaran diskaun untuk notis kesalahan PKP.

“Jadi berhati-hati kepada semua. Kompaunnya bukan murah… nanti wang bantuan diberikan kerajaan akan habis dengan bayaran kompaun,” katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakon hari ini berkata setakat semalam 6,905 orang ditahan kerana ingkar PKP dengan 630 daripada dituduh di mahkamah. – 8 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen