RM10 bilion tak cukup bantu industri pelancongan dan restoran


Angie Tan

Industri pelancongan dan makanan terjejas teruk kerana Covid-19 dan dijangka lambat pulih walaupun wabak berakhir kerana orang ramai berjaga-jaga dan berjimat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 April, 2020.

WALAUPUN pemain industri pelancongan dan restoran kini sedikit lega dengan pakej rangsangan RM10 bilion untuk PKS diumum Putrajaya, mereka masih bimbang dengan nasib perniagaan berdepan cabaran wabak Covid-19.

Presiden Persatuan Pelancongan China Malaysia Albert Tan berkata walaupun pakej itu dapat membantu beberapa perkara seperti gaji pekerja dan penangguhan pinjaman, pakej khusus dan menyeluruh untuk industri pelancongan masih diperlukan.

Katanya, isu terbesar dihadapi pemain sektor itu adalah pusingan modal.

“Kami semua tertanya-tanya sekiranya kami ada cukup wang untuk pusing modal bulan depan untuk bayar gaji pekerja, sewa, caruman KWSP dan Socso dan lain-lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Di bawah pakej diumumkan minggu lepas, hanya caruman pekerja ditangguhkan tetapi majikan masih perlu membayar caruman wajib kebajikan pekerja itu.

Tambah Tan, industri pelancongan sudah merasai kesan wabak Covid-19 sejak Februari lalu selepas kejatuhan mendadak ketibaan pelancong dari China pada perayaan musim luruh di negara itu.

Industri itu kini hampir lumpuh sepenuhnya sekarang wabak itu melanda seluruh dunia sekarang.

Tan tidak mengharapkan industri pelancongan akan serta merta pulih selepas wabak Covid-19 berakhir.

“Pelancong ada masalah ekonomi sendiri dan akan mempertimbangkan keselamatan mereka sebelum berjalan. Tidak mungkin industri akan pulih dalam masa singkat, beban kami bukan setakat setengah tahun,” katanya. – 8 April, 2020.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen