Anak pemimpin Amanah ditahan miliki 200 biji pil kuda


POLIS menahan anak lelaki seorang pemimpin Amanah kerana memiliki 200 pil methamphetamine atau pil kuda di depan sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor Kampung Jelutong, Kelantan semalam, lapor Utusan Malaysia hari ini.

Menurut laporan itu, pemimpin berkenaan juga merupakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan pihak berkuasa daripada Bahagian Narkotika Kota Baru sekitar 3.30 petang, kata laporan itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik mengesahkan tangkapan itu dan mengatakan suspek dibawa ke Mahkamah Kota Baru bagi mendapatkan perintah reman.

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan berhubung penemuan 200 pil kuda di poket hadapan sebelah kanan seluar panjang yang dipakainya,” kata Ismail.

Sementara itu, menurut Awani suspek cuba melarikan diri semasa pihak berkuasa memperkenalkan diri.

Suspek terjatuh ke atas tanah dan berlaku pergelutan, bahkan suspek melawan semasa polis cuba menahannya dan enggan memberikan kerjasama semasa pemeriksaan hendak dilakukan, lapor Awani.

Hasil pemeriksaan, polis menemui beg plastik berwarna biru yang dibungkus dengan tisu putih yang mengandungi 198 pil berwarna merah dan dua biji pil berwarna hijau disyaki dadah. – 19 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen