Pusat jagaan warga emas terdesak, tiada sumbangan sepanjang PKP


Angie Tan

Penghuni rumah orang tua terpaksa makan makanan dalam tin susulan pihak pengurusan tidak cukup wang membeli bahan makanan segar sepanjang tempoh PKP. – Gambar The Malaysian Insight, 8 April, 2020.

PUSAT penjagaan orang tua berdepan masalah kekurangan sumbangan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada 18 Mac, sehingga menyebabkan mereka terpaksa masak makanan dalam tin untuk diberikan kepada warga emas di sana.

Beberapa pengurus rumah berkenaan memberitahu The Malaysian Insight mereka tidak mampu membeli makanan segar kerana kekurangan wang.

Pengurus Yuan Old Folks’ Home Jacky Bah berkata sejak PKP dikuatkuasakan, rumah itu tidak dapat membeli bahan makanan segar dan terpaksa menggunakan makanan dalam tin seperti daging, sardin dan bubur untuk diberikan kepada penghuni.

Bah berkata pusat itu biasanya bergantung kepada aktiviti amal dan sumbangan untuk meneruskan operasi.

Tetapi katanya, sumbangan berkurangan selepas PKP dikuatkuasakan.

“Sejak 18 Mac, tidak ada pengunjung dan sumbangan tiada. Biasanya kami hadir aktiviti amal untuk menerima sumbangan, tetapi semua program itu dibatalkan,” katanya.

Bah berkata terdapat 35 warga emas di pusat yang terletak di Kuala Lumpur itu, dengan kebanyakannya kurang upaya dan nyanyuk.

“Kos operasi bulanan pusat ini RM30,000. Seorang warga emas biasanya memerlukan lebih RM1,000, termasuk bayaran air, elektrik, lampin pakai buang dan makanan. Pusat ini sedang berdepan kesukaran untuk beroperasi,” katanya.

Katanya, pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia menyebabkan penderma yang baik hati turut mengalami masalah pendapatan, jadi tidak wajar untuk meminta sumbangan daripada mereka.

“Kami terpaksa menyelesaikan masalah keperluan di sini sendiri dan ia termasuk meminta pemilik premis ini kelonggaran dalam membayar sewa, selain bil utiliti yang mencecah RM7,000.

“Nasib baik, untuk makanan kering, masih banyak lagi kami simpan, hasil sumbangan yang diterima ketika sambutan Tahun Baru Cina lalu, jadi ia cukup untuk sebulan ini.

“Tetapi keadaan akan bertambah sukar jika PKP berterusan hingga Mei,” katanya.

PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Ia dilanjutkan hingga 14 April susulan jumlah jangkitan terus meningkat. Virus itu setakat ini membunuh 63 orang dengan 3,963 kes jangkitan. – 8 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen