Polis tumpaskan sindiket curi bateri pencawang telekomunikasi


POLIS menumpaskan satu sindiket curi bateri pencawang telekomunikasi yang membabitkan kerugian RM42,000 selepas menahan empat lelaki dalam beberapa operasi di Tuaran, dekat Kota Kinabalu, sejak Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Habibi Majinji berkata dengan penahanan semua suspek yang berusia 25 hingga 36 itu, polis menemui semula 56 unit bateri pencawang.

“Sebaik menerima laporan, sepasukan polis yang menjalankan operasi berjaya menahan suspek pertama di sebuah rumah di Telipok Ria, Tuaran, Ahad lepas. Hasil tangkapan pertama, seorang lagi lelaki berjaya ditahan, dan polis merampas16 lagi bateri pencawang telekomunikasi di rumahnya di kawasan berkenaan.

“Susulan soal siasat, dua lagi lelaki berjaya ditahan semalam, yang kemudiannya membawa kepada penemuan baki keseluruhan bateri pencawang yang dilaporkan hilang,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata polis percaya kumpulan penjenayah ini mengambil kesempatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini untuk menjalankan kegiatan mereka, dan kebanyakan pencawang itu pula terletak di kawasan terpencil.

“Siasatan mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai pengalaman kerana pernah bekerja sebagai juruteknik pencawang telekomunikasi di Rawang, Selangor tahun lepas,” katanya.

Habibi berkata dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan empat kes curi bateri pencawang syarikat telekomunikasi yang berlaku di sekitar daerah ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan semua suspek direman selama lima hari,” katanya.– Bernama, 7 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen