PERDANA Menteri Saad Hariri berkata beliau akan kembali ke Lubnan pada Rabu untuk menyertai sambutan Hari Kemerdekaan dan menjelaskan mengenai situasinya, selepas pengumumannya meletak jawatan yang mengejutkan hingga menambah kekeruhan politik di Arab Saudi.
Bercakap selepas pertemuan dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron, Hariri berkata beliau akan mengumumkan kedudukannya sebaik saja kembali ke Beirut.
“Seperti yang anda tahu saya sudah meletak jawatan, dan kami akan membincangkan perkara itu di Lubnan,” katanya kepada wartawan, berkata beliau perlu bertemu dengan Presiden Michel Aoun sebelum mengambil langkah selanjutnya.
Hariri membuat pengumuman untuk meletak jawatan pada 4 November lalu.
Kegagalannya pulang ke Lubnan mencetuskan khabar angin yang beliau ditahan di Riyadh, tetapi beliau dan Arab Saudi menafikannya.
“Untuk kata saya ditahan di Arab Saudi dan tidak dibenarkan keluar dari negara berkenaan, itu tipu,” katanya dalam Twitter sebelum ke Paris baru-baru ini.
Isteri Hariri dan anak lelaki sulungnya Houssam menyertainya makan tengah hari bersama Macron di Istana Elysee tetapi dua lagi anaknya yang menetap di Arab Saudi, masih di sana kerana perlu menduduki peperiksaan.
Selepas pertemuan itu, pejabat Macron berkata presiden akan terus mengambil inisiatif perlu untuk kestabilan Lubnan.
“Kami membantu meredakan ketegangan di wilayah itu,” kata Istana Elysee.
Keputusan misteri Hariri untuk meletak jawatan – yang mana presiden Aoun enggan menerimanya selagi Hariri masih di luar negara – membangkitkan ketakutan terhadap demokrasi Lubnan yang rapuh.
Kem Hariri berusaha untuk meredakan kebimbangan, dengan seorang sumber berkata perdana menteri itu mengadakan mesyuarat yang baik dengan putera mahkota Arab Saudi.
Hariri – anak kepada bekas perdana menteri Rafiq Hariri yang terbunuh pada 2005 dalam satu kejadian pengeboman kereta – menyalahkan Hezbollah menyebabkan ketidakstabilan dalam perpaduan kerajaan, termasuk membabitkan gerakan Syiah. – AFP, 19 November, 2017.
Komen