MUHD Syamel Shuhaimie sudahpun membuat pelbagai persiapan untuk melangsungkan perkahwinan termasuk persalinan, jamuan dan destinasi bulan madu.
Beliau sepatutnya bernikah 20 Mac lalu dan memulakan hidup berumahtangga dengan pasangan, namun segala rancangan itu haru-biru apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.
Muhd Syamel, 26 dari Permatang Pauh berkata segalanya terpaksa ditukar kerana semua perhimpunan, majlis keraian dan rapat umum dilarang sewaktu PKP.
Penguatkuasaan itu bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, yang amat mudah berjangkit dan boleh disebar oleh individu tanpa sebarang simptom.
Oleh itu, pernikahan beliau terpaksa ditangguhkan, katanya dengan kesal kepada The Malaysian Insight.
“Pada awal, rancangan kami bernikah di sebuah hotel, kemudian imam minta kami tukar lokasi di rumah atau tempat lain kerana PKP.
“Untuk buat di rumah tidak boleh sebab tiada apa-apa persediaan dan kami putuskan untuk kami cari tempat baru.
“Imam beri sehingga 23 Mac tetapi waktu itu pula pihak jabatan agama pula keluarkan kenyataan, semua urusan majlis akad nikah di Kedah ditangguhkan sehingga PKP berakhir,” jelasnya.
Tambahnya kedua-dua majlis persandingan iaitu di sebelah pihaknya dan perempuan dibatalkan menyebabkan mereka kerugian sehingga RM5,000.
“Kad kahwin dan kain rentang memang tidak dapat bayaran balik. Saya juga beli berpuluh-puluh cecair pembasmi kuman dan alat pengesan suhu untuk kegunaan tetamu, dan semua itu rugi saja.
“Bagi tempahan dewan, katering makanan, dan baju pengantin kita dapat tangguhkan dulu,” jelasnya yang menjemput lebih 1,000 orang ke majlis yang sepatutnya diadakan di sebuah dewan di Bukit Mertajam.
Ada juga pasangan yang bernasib baik kerana masih dapat meneruskan majlis dengan jumlah kehadiran lebih kecil seperti Lee Jun Keat, 30 dan pasangannya Chew Jin Yee, 25.
Kedua-duanya bercadang melangsungkan perkahwinan dengan 150 tetamu pada 21 Mac, hari keempat PKP.
“Sejak awal Macam lagi kami bimbang jika pandemik ini akan menjejaskan majlis perkahwinan. Walaupun PKP belum diumumkan waktu itu, kami kurangkan tetamu kepada 50,” kata Chew.
Wanita berasal dari Selangor itu bimbang bapanya dari Singapura tidak dapat hadir ke majlis tersebut.
“Bapa saya kerja di Singapura dan ada kebimbangan beliau terpaksa bergegas balik kerana perlu dikuarantin,” kata Chew.
Oleh itu, mereka memutuskan untuk menyiarkan majlis tersebut di dalam talian sahaja untuk mengelakkan tetami dijangkiti Covid-19.
Mereka menyiarkan perkahwinan itu dari rumah, disaksikan 100 anggota keluarga, saudara, rakan-rakan dan pastor.
“Saya tidak pakai baju kahwin pun. Cuma baju biasa dengan sedikit gincu. Majlis itu hanya berlangsung 30 minit. Kelajuan Internet tidak begitu kuat, tapi kami puas hati.
“Saya fikir perkara lebih penting adalah kehidupan masa depan bersama. Bagaimanapun keluarga dan saudara kasihan pada kami kerana ada yang bercadang datang ke majlis dari Pulau Pinang dan Johor.
“Selepas PKP berakhir, kami akan adakan majlis untuk saudara dan rakan-rakan,” katanya.
Chew berkata suaminya juga sudah menempah bulan madu di luar negara selama seminggu, tetapi kini terpaksa dibatalkan.
“Sekarang kami cuma berbulan madu di rumah untuk tiga minggu. Tapi tempoh ini memberi peluang untuk mengenali satu sama lain.”
Seorang lagi pengantin, editor video, Nik Muhammad Nik Amir, 28 berkata beliau sepatutnya bernikah bersama pasangannya di Kelantan pada 27 Mac tetapi diawalkan pada 22 Mac atas nasihat imam.
“Pada malam 21 Mac, imam minta saya bernikah malam itu atau akan ditangguhkan lebih lama, tetapi memang tidak sempatlah saya pun tidak sedia apa-apa lagi.
“Kemudian pihak keluarga saya minta tukar kepada 22 Mac, dan imam setuju.
“Bayangkan dalam satu malam saya uruskan segala-galanya seperti mas kahwin, urusan pelamin, hantaran.. Saya memang kalutlah,” katanya.
Katanya keluarganya saya dari Sungai Dua, Pulau Pinang datang ke Kelantan malam itu juga dan beliau bersyukur, urusan pernikahan itu berjalan lancar walaupun ringkas.
Nik bagaimanapun sedikit kecewa kerana majlis nikah itu menjadi suram kerana majlis di rumah pengantin perempuan hanya dihadiri beberapa orang seperti ditetapkan pihak berkuasa agama.
“Daripada keluarga saya, hanya empat orang datang. Waktu nikah rasa sayu sebab saudara-saudara yang rapat tidak ada.
“Kita harapkan majlis itu meriahlah dengan keluarga kita ada bersama. Memang ramai ahli keluarga berkeras mahu datang, tetapi saya terpaksa halang mereka dengan berat hati,” jelasnya.
Sementara itu, perunding IT, Muhammad Farhan Abd Ghani pula bersyukur kerana dapat melansungkan pernikahan lima hari sebelum PKP diumumkan.
Katanya, beliau hanya sempat mengadakan majlis di pihak wanitan 14 Mac dan menangguhkan kenduri pihaknya di Perak pada 21 Mac.
“Banyak juga wang rugi ditambah dengan kena buat tempahan baru macam kad kahwin, kain rentang, dan mungkin dewan pun terpaksa tukar,” kata beliau.
Farhan juga memberitahu, pelan untuk berbulan madu di sebuah pusat peranginan di Perak dibatalkan dan rugi melebihi RM500.
“Hotel itu juga buat sementara waktu ditutup. Kami boleh tukar tarikh, tapi buat masa sekarang kami pun masing-masing sibuk, jadi tak boleh nak tetap tarikh baharu.
Setakat ini, berbulan madu di rumah sahajalah, sebab kami berdua dapat cuti,” jelas beliau yang menetap di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Bagaimanapun, seorang doktor dari Alor Setar Goh Saw Huan, 27, tidak begitu bernasib baik kerana bukan hanya perlu membatalkan bulan madunya tetapi juga menangguhkan perkahwinannya yang akan diadakan pada 24 April.
Beliau berkata persiapan itu mengambil masa lebih setahun, dan dia merancang untuk menjemput 200 saudara mara dan rakan-rakannya.
“Dalam pandemik ini, kesihatan dan keselamatan semua orang adalah keutamaan, malangnya kita mesti tangguhkan jamuan perkahwinan.
“Beberapa rakan dari luar negara telah membeli tiket pesawat untuk hadir pada majlis perkahwinan kami,” katanya.
Beliau menambah bahawa penangguhan majlis resepsi perkahwinan itu memerlukan kos RM4,000, termasuk deposit restoran, fotografi, pakaian perkahwinan dan jemputan.
Menurutnya, mereka merancang untuk pergi berbulan madu ke Jepun namun ia terpaksa dibatalkan.
Tarikh baharu masih belum pasti
Bagi Christina Indra Ann Gunasegaran 27, beliau tidak puas hati kerana tidak dapat bertemu dan membincangkan rancangan perkahwinan dengan tunangnya yang berada di Ipoh.
Mereka sepatutnya berkahwin pada 9 Mei di sebuah gereja di Kuala Lumpur, diikuti dengan resepsi di sebuah hotel di ibu negara.
“Dengan pelaksanaan PKP, dia tidak boleh datang ke sini dan saya tidak boleh pergi ke Ipoh untuk berjumpanya.
“Walaupun kami boleh membuat panggilan video atau WhatsApp antara satu sama lain, ia tidak sama seperti bertemu untuk membincangkan perkara itu.
“Kami telah membayar deposit untuk semua persediaan perkahwinan, tetapi sekarang kita perlu menilai semula apa yang akan kita lakukan jika ini berterusan,” kata akauntan dari Kelana Jaya kepada The Malaysian Insight.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat satu kluster terlibat dalam satu majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.
Beliau berkata terdapat 88 kes daripada kluster ini, termasuk seorang yang kini dirawat di ICU.
“Perhimpunan besar mempunyai kesan drastik terhadap peningkatan kes Covid-19 di Malaysia,” katanya sambil menambah ia adalah masa yang tepat untuk mengenakan perintah PKP bagi menghalang orang daripada berkumpul. – 7 April, 2020.
Komen