Polis tak pilih kasih kes ingkar PKP, kata Abdul Hamid


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador turut memberi amaran tindakan yang tegas akan dikenakan terhadap mereka yang ingkar arahan kawalan pergerakan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2020.

POLIS tidak pilih kasih dalam pelaksanaan undang-undang dan tindakan mengikut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, mana-mana pegawai dan anggota polis yang ingkar pada arahan PKP turut diambil tindakan.

“Sudah ada dua anggota polis ditahan kerana ingkar arahan PKP dengan individu kedua ditahan ketika sedang berkaraoke.

“Ingin saya tegaskan bahawa kami tidak memilih bulu dengan mengenakan tindakan tegas terhadap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melanggar arahan PKP.

“Sepatutnya mereka (polis) yang paling patuh pada arahan itu dan bagi contoh terbaik kepada masyarakat supaya mengikut arahan daripada pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata tindakan ingkar sebegini akan menyebabkan mereka yang patuh arahan ini sakit hati.

“99 peratus akan sakit hati kerana mereka berkurung dalam rumah, namun ada lagi individu yang keluar rumah tanpa sebab munasabah,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa memantau pergerakan anak bagi memastikan mereka tidak keluar rumah sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

“Berdasarkan statistik tangkapan individu ingkar arahan PKP, empat peratus daripada jumlah keseluruhan tangkapan membabitkan remaja berusia bawah 18 tahun.

“Justeru, saya mohon ibu bapa supaya pantau aktiviti anak dengan memastikan mereka tidak keluar rumah bagi mengelak ditahan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada individu tegar melanggar arahan PKP bahawa mereka akan berdepan hukuman berat apabila ditahan pihak 
berkuasa.

“Bagi individu ingkar yang menganggap perbuatan mereka melanggar arahan adalah macho perlu diingat bahawa sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

“Mungkin kali pertama hingga kali ketiga mereka berjaya lolos, namun tidak akan lolos buat selamanya. Mereka perlu fikir hukuman berat yang akan menimpa mereka apabila ditahan kelak,” katanya.

Beliau turut mengingkatkan pegawai dan anggota polis supaya tidak menggunakan kekerasan bagi mengawal individu yang ingkar arahan.

“Pada masa yang sama orang ramai diharap dapat memahami situasi dilalui pegawai dan anggota polis yang bertugas sepanjang tempoh PKP.

“Harapan saya terhadap anak buah supaya ikut undang-undang. Saya sendiri tidak menggalakkan mereka menggunakan kekerasan bagi mengawal mereka yang ingkar.

“Kami sendiri tidak suka menahan orang tetapi undang-undang itu bertujuan menjaga kepentingan seluruh rakyat Malaysia dan ia bukanlah satu keseronokan,” katanya. – 6 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen