Mahkamah tentukan hukuman individu ingkar PKP, kata polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Polis hanya menjalankan tugas melaksana PKP, menahan dan menyiasat mereka yang ingkar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2020.

HUKUMAN ke atas individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan ditentukan badan kehakiman dan polis hanya membuat tangkapan, kata Abdul Hamid Bador.

Ketua polis negara berkata bentuk hukuman yang dikenakan terhadap pesalah PKP termasuk penjara ditentukan oleh mahkamah.

Katanya polis maklum mengenai situasi kesesakan dalam penjara sekiranya pesalah PKP ditempatkan di penjara namun polis hanya melaksanakan tangkapan.

“Kami (PDRM) hanya melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan segala hukuman penjara adalah di bawah budi bicara pihak mahkamah.

“Namun apa yang ingin saya tegaskan bahawa betapa ruginya anda yang dikenakan hukuman denda RM1,000 apabila melanggar atau mengingkari PKP ini, kerana wang berkenaan boleh digunakan untuk membeli keperluan harian yang lebih penting,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata pada masa ini seramai 378 pesalah yang mengingkari arahan PKP sudah dijatuhkan hukuman penjara atau denda.

Katanya sebahagian lagi yang ditahan kerana melanggar PKP tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Sebelum ini Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menyatakan beliau menggesa pegawai kehakiman untuk mengambil pertimbangan dalam menjatuhkan hukuman penjara bagi kesalahan melanggar PKP susulan risiko penularan wabak Covid-19 di penjara.

Tengku Maimun memaklumkan dengan mengambil kira peruntukan undang-undang sedia ada dalam menjatuhkan hukuman terhadap pesalah itu, pegawai kehakiman dinasihati mengambil pertimbangan berkenaan risiko penularan wabak itu yang dihadapi penjara.

Bagaimanapun katanya, ia adalah terletak pada budi bicara mahkamah untuk mempertimbangkan bentuk hukuman yang sesuai dengan mengambil kira masalah risiko penularan wabak itu yang dihadapi penjara. – 6 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen