Polis tambah kekuatan kawal sempadan, bendung Covid-19


Kalidevi Mogan Kumarappa

Polis akan menambah anggota di sempadan untuk mengelak pendatang asing bolos ketika wabak Covid-19 melanda negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2020.

POLIS akan menguatkan kawalan di sempadan dan perairan negara bagi mengelak warga asing memasuki negara secara haram untuk membendung Covid-19, kata Abdul Hamid Bador.

Ketua polis negara berkata kekuatan seramai 2,500 pegawai dan anggota yang kini bertugas untuk mengawal dan meronda perbatasan dan pantai seluruh negara akan ditingkat sekali ganda.

“Jadi, polis akan menambah 100 peratus lagi kekuatan bagi pelaksanaan tugas di kawasan. Ini bagi menyahut kenyataan yang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai bahaya sekiranya negara dilanda gelombang ketiga dari luar.

“Kita boleh menjangkakan virus senang dibawa masuk oleh pendatang asing tanpa izin yang menggunakan laluan tikus.

“Sudah pasti kehadiran mereka di negara ini tanpa saringan dan pemeriksaan amat berisiko tinggi,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata enam orang termasuk seorang wanita warga Bangladesh dan Myanmar yang cuba masuk secara haram ditahan di Padang Besar.

Katanya, semua laluan tikus ini akan diberi perhatian lebih dan mana-mana kawasan sempadan yang didapati kosong atau kurang kawalan, anggota Pasukan Gerakan Am akan ditambah.

Seramai 202 orang pelarian Rohingya pula dikesan menyelinap mendarat di Langkawi semalam, yang didapati masuk dari Myanmar.

Kumpulan itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas mendarat di Langkawi pada dinihari dan seterusnya diasingkan untuk saringan.

Kumpulan itu terdiri daripada 152 lelaki, 45 wanita serta lima kanak-kanak. – 6 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen