Aktiviti judi dalam talian dan rokok seludup naik sepanjang PKP, kata polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Berlaku peningkatan kes judi dalam talian dan rokok seludup sepanjang perintah kawalan pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2020.

POLIS mengesan peningkatan ketara aktiviti judi dalam talian dan rokok seludup di pasaran sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, memandangkan rakyat mempunyai banyak waktu berehat dan berkurung di rumah, ramai yang masuk perangkap sindiket judi dalam talian.

“Elak dari berjudi, saya difahamkan judi online sudah berleluasa sekarang. Jadi dalam masa terdekat saya akan ambil tindakan ke atas sindiket-sindiket ini.

“Saya dapati sindiket ini mensasarkan orang ramai yang sekarang berada di rumah. 

“Saya bimbang wang bantuan prihatin yang diberikan kerajaan akan masuk ke dalam akaun sindiket judi online ini,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mengulas mengenai peningkatan rokok seludup pula, Abdul Hamid berkata, kedai-kedai menjual rokok yang sah sudah kehabisan rokok dan secara tidak langsung meningkatkan permintaan terhadap rokok seludup.

“Saya sudah ingatkan kepada pegawai dan anggota yang membuat rondaan dan kawalan di pantai-pantai untuk memberi tumpuan kepada aktiviti penyudupan rokok.

“Pada masa yang sama, anggota juga akan pemeriksaan secara rambang ke atas kedai-kedai bagi mengesan penjualan rokok seludup,” katanya. – 6 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen