Penagih dadah tak perlu takut buat ujian Covid-19, kata polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador meminta penagih dadah yang bergejala tampil membuat saringan Covid-19 dan mereka tidak akan dikenakan tindakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2020.

POLIS memberi jaminan tidak akan mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang menyalahguna dadah untuk memastikan kesemua golongan yang bergejala tampil membuat saringan Covid-19.

Jaminan itu diberikan sendiri oleh Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador untuk memastikan wabak maut itu berjaya dikekang sepenuhnya. 

“Negara pada masa ini berhadapan dengan masalah lebih membimbangkan iaitu wabak Covid-19, dan polis berusaha untuk menghentikan penyebaran dan penularannya dalam negara ini.

“Pada masa ini kita mengalu-alukan individu yang mempunyai simptom Covid-19 namun pernah terbabit dengan pengambilan dadah untuk tampil bagi mengekang penyebaran wabak ini,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata, polis bimbang, sekiranya mereka berdiam diri, wabak berkenaan boleh menjangkiti ahli keluarga individu berkenaan serta orang yang rapat dengan mereka.

“Sila tampil untuk pemeriksaan di mana-mana klinik kesihatan kerajaan, jangan bimbang, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) tidak akan menjalankan ujian air kencing terhadap anda.

“Bagi kita pihak polis adalah apa yang penting pada masa ini ialah keselamatan dan nyawa mereka,” katanya.

Beliau berkata JSJN bagaimanapun akan terus melaksanakan operasi berdasarkan maklumat bagi memburu mana-mana pengedar dadah meskipun ketika PKP dilaksanakan.

“Kita masih meneruskan operasi dan bertindak di atas maklumat ke atas tokan-tokan dadah,” katanya. – 6 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen