Abdul Hadi terdesak, fitnah untuk halalkan pengkhianatan


Baru-baru ini tersebar kandungan surat yang dikatakan dihantar oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang kepada pemimpin negara-negara arab pada 22 Mac lalu.

Surat yang ditulis dalam Bahasa arab itu dipercayai cuba untuk memberi justifikasi mengenai pembabitan PAS dalam agenda pengkhianatan yang menyebabkan Umno dan Barisan Nasional kembali berkuasa setelah ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum yang lalu. 

Antara yang ditulis oleh Abdul Hadi ialah beliau cuba menggambarkan Kerajaan Pakatan Harapan sebagai Anti-Islam dan dipengaruhi kuasa barat.

Sosok Anwar Ibrahim menjadi sasaran khusus apabila beliau dilabelkan sebagai Sekular Pragmatik dan berakhlak buruk.

Tindakan Abdul Hadi ini jelas menunjukkan beliau sebagai pemimpin yang gagal memahami realiti dan prioriti.

Surat tersebut dikeluarkan pada tarikh 22 Mac 2020 iaitu ditengah-tengah Malaysia dan seluruh dunia bergelut menghadapi ancaman virus Covid –19.

Tidakkah Abdul Hadi dan individu-individu di sekeliling beliau berfikir sebelum bertindak.

Pasti pemimpin negara luar akan berasa pelik dan janggal menerima surat Abdul Hadi dalam saat-saat genting seperti ini.

Di waktu pemimpin-pemimpin antarabangsa sibuk memikirkan program-program untuk mengatasi ancaman Covid–19 dan agenda pemulihan ekonomi pasca wabak, Abdul Hadi memilih untuk menghantar surat panjang lebar bagi menjelaskan persekongkolan PAS dengan pengkhianatan.

Abdul Hadi seperti sedang dibelengu bayang-bayang bersalah sehingga bertindak secara tidak munasabah.

Agak melucukan apabila Abdul Hadi dalam suratnya menjadikan Anwar Ibrahim sebagai sasaran utama.

Mungkin Abdul Hadi merasakan pengaruh beliau cukup besar sehingga mampu memperbodohkan pemimpin negara-negara Islam dengan surat fitnah beliau.

Apakah Abdul Hadi terlupa bahawa nama dan wajah Anwar Ibrahim terpampang dalam Honourable Mention, The 500 Most Influential Muslims terbitan Oktober 2019.

Abdul Hadi juga cukup tahu bagaimana hubungan rapat Anwar Ibrahim dengan tokoh-tokoh Islam antarabangsa seperti Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan dan juga ulama tersohor, Sheikh Dr Yusuf Al - Qaradawi.

Abdul Hadi dan mana-mana pemimpin pakatan pintu belakang tidak perlu menegakkan benang yang basah.

Semua orang cukup tahu dan faham bahawa kerajaan yang dipilih oleh rakyat Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke 14 adalah Pakatan Harapan.

Namun malangnya Kerajaan ini telah ditumbangkan secara khianat oleh sekelompok politikus yang gila pangkat dan kuasa.

Dengan jawatan yang disandang sebagai Duta Khas bertaraf Menteri, surat Abdul Hadi ini pasti turut mencemarkan nama Negara.

Adalah tidak berbaloi untuk mendesak Abdul Hadi membuat permohonan maaf atau menarik balik surat yang dikeluarkan.

Cukuplah rakyat tahu betapa hipokritnya sesetengah individu yang sanggup berbohong dan memfitnah demi menghalalkan perbuatan khianat.

* Ahmad Syukri Bin Che Ab Razab merupakan Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Malaysia

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen