Banyak masalah timbul bila guru beralih ke pembelajaran online


Bernard Saw

KPM beri garis panduan PdP atas talian sejak Jumaat lalu bagi memudahkan penyesuaian pembelajaran secara maya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 7 April, 2020.

PEMBELAJARAN atas talian di Malaysia di mana akses kepada teknologi dan Internet tidak setaraf menyebabkan masalah kepada ibu bapa, guru dan murid untuk log masuk ke kelas online sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Besar Malaysia Wong Shee Fatt berkata antara masalah paling asas ialah tiada sambungan kepada Internet.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan garis panduan berkenaan pembelajaran online pada Jumaat lalu, bertujuan memudahkan penyesuaian kepada pengajaran dan pembelajaran secara maya, di mana memberi guru kebebasan untuk menggunakan kreativiti merekodkan sesi pembelajaran dan menggunakan platform e-pembelajaran yang berbeza mengikut kesesuaian.

Bagaimanapun, Wong berkata halangan lain timbul dengan sesetengahnya ada kaitan dengan teknologi, atau masalah semulajadi manusia, atau faktor yang di luar kawalan.

Sesetengah guru tidak ada komputer. Sebahagian murid akhirnya tidak membuat kerja rumah kerana keluarga mereka terpaksa berkongsi satu komputer.

Sesetengah murid tidak ingat kata laluan atau akaun mereka untuk log masuk. Dan ada guru tidak boleh dihubungi kerana mereka enggan berkongsi nombor telefon berikutan tidak mahu dihujani dengan soalan.

Tambah lagi, jika ada murid yang mengikuti kelas online itu, mereka tidak ada buku yang tepat untuk menyiapkan kerja rumah kerana kebanyakan buku ditinggalkan di sekolah.

Wong berkata bagi sekolahnya sendiri SJKC Choong Wen, hanya 30% pelajar “menghadiri” kelas online sejak kementerian mengumumkan untuk sekolah meneruskan kelas online, minggu lalu.

“Sekolah terpaksa menghantar mesej kepada ibu bapa untuk memastikan anak mereka log masuk dan menghadiri kelas online,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Guru besar SJKC Foon Yew 1 di Johor, , Soh Lip Leong berkata beliau menerima lambakan soalan daripada ibu bapa selepas sekolah mengumumkan ia akan mengadakan kelas online.

“Sementara semua orang, daripada pentadbir hingga guru, cuba menjawab semua soalan dibangkitkan oleh ibu bapa, tidak apa yang dapat kami lakukan jika murid tinggal di kawasan yang sambungan Internet teruk,” katanya.

Soh berkata guru ada kebebasan untuk memilih cara lain bagi membimbing murid, tetapi beliau tidak menghuraikannya.

Seorang guru yang mahu dikenali sebagai Li, berkata beliau menggunakan Google Classroom untuk pengajarannya, tetapi pelajar sendiri tidak muat turun dan menyediakan platform itu.

“Hasilnya ialah tidak ada siapa pun log masuk,” katanya.

Ibu kepada tiga anak, Souk Ping berkata beliau kecewa dengan guru anaknya yang “tidak memudahkan” pelajar untuk menyertai kelas online.

Katanya, walaupun sekolah sudah mengumumkan kelas online, guru berkenaan tidak mahu berkongsi nombor telefonnya kepada ibu bapa.

Ibu bapa seperti Souk Ping tidak ada tempat untuk minta bantuan untuk menyelesaikan masalah dalam membolehkan anak mengikuti kelas online.

“Hingga hari ini, guru itu tidak memberi anak saya sebarang kelas. Apa patut saya buat,” katanya.

Perintah kawalan pergerakan yang berkuatkuasa pada 18 Mac, sepatutnya tamat 31 Mac, tetapi dilanjutkan dua minggu lagi hingga 14 April untuk membendung penularan Covid-19 yang setakat ini menyebabkan lebih 50 maut dan lebih 3,000 kes jangkitan. – 7 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen