Sukar jejaki San Juan dalam cuaca buruk


MISI mencari kapal selam milik tentera laut Argentina yang dilaporkan hilang bersama 44 anak kapal ditangguhkan kerana keadaan cuaca buruk.

Kapal San Juan terputus hubungan sejak Rabu lalu, menyebabkan kerajaan melancarkan misi mencari di laut dan udara untuk mengesan serta menyelamatkan kapal berkenaan.

Jurucakap tentera laut Argentina, Enrique Balbi berkata misi itu menjelajah hampir 80% dari kawasan pencarian dengan menggunakan pesawat dan kapal perang.

“Cuaca amat buruk. Ada ribut dengan ombak yang menjangkau ketinggian enam meter. Ia menyukarkan kerja mencari.

“Dalam keadaan seperti ini, tiada apa yang dapat kami lakukan,” katanya.

Setakat ini, kehilangan kapal itu dipercayai berpunca daripada ketiadaan tenaga elektrik yang menyebabkan hubungan dengan pangkalan tentera terputus.

Misi pencarian kapal selam itu turut disertai kerajaan Brazil, Britain, Chile, Amerika Syarikat dan Uruguay. – AFP, 19 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen