Menjaga rantaian bekalan makanan


SEMASA Perintah Kawalan Pergerakan, kita telah melihat insiden pembelian panik oleh segelintir rakyat Malaysia. 

Sebelum ini ramai antara kita yang seringkali makan atau membeli makanan di luar rumah. 

Tetapi dengan Perintah Kawalan Pergerakan, lebih ramai yang kini memasak di rumah. Oleh sebab itu, permintaan terhadap makanan segar di pasar raya meningkat dengan mendadak.

Walaupun ada permintaan yang tinggi, kita masih menikmati bekalan makanan yang mencukupi, tidak seperti situasi kekurangan bekalan topeng muka di pasaran. 

Namun, perkara ini tidak patut dipandang ringan. Kita harus memastikan bekalan makanan, terutamanya makanan asasi, terus mencukupi di pasaran.

Makanan di Malaysia diperolehi melalui hasil pengeluaran dalam negeri serta import. 

Daging dan susu, misalnya, kebanyakannya diimport dari India, Australia dan New Zealand. 

Manakala sekitar 60-100% bekalan makanan asas seperti daging ayam, telur, khinzir, ikan, beras dan sayur-sayuran dihasilkan dalam negeri.

Untuk makanan ruji, petani tempatan mengeluarkan sekitar 60% keperluan beras negara.

Berdasarkan kajian Khazanah Research Institute, Malaysia mempunyai 150,000 tan metrik (MT) stok kecemasan milik kerajaan yang disimpan dalam gudang-gudang di bawah seliaan syarikat Bernas. 

Mengikut Akta 522 Kawalan Padi dan Beras, ketika kecemasan, kerajaan Malaysia juga boleh mengambil beras yang disimpan di gudang-gudang swasta (lebih kurang 500,000 MT) untuk kegunaan rakyat. 

Tambahan lagi, beras yang sudah diimport dan berada di dalam kapal atau di pelabuhan lazimnya melebihi 100,000 MT. 

Ini memberi jumlah tidak kurang dari 750,000 MT beras pada satu-satu masa. Jumlah ini tidak termasuk padi yang baru dituai di mana hasil tuaian di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) sahaja menghasilkan dalam linkungan 400-600,000 MT beras semusim. 

Jika rakyat memerlukan 200,000 MT beras sebulan, maka Malaysia mempunyai stok untuk 4 hingga 6 bulan, bukannya 2.5 bulan, seperti yang disalahlapor kebelakangan ini. 

Perkara ini turut dijelaskan oleh Menteri Pertanian yang telah memberi jaminan bahawa stok beras negara mencukupi.

Yang pentingnya, rantainan bekalan makanan perlu berjalan lancar dan berkesan, supaya beras tempatan dapat bergerak dari sawah ke pengguna tanpa sekatan atau pembaziran. 

Dari ladang ke pasar

Bagaimana pula dengan bekalan telur, ayam, dan sayur-sayuran tempatan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan?

Bukan sahaja para petani, malah pihak yang terlibat di setiap segmen rantaian bekalan makanan perlu diberi peluang untuk melaksanakan peranan mereka agar makanan-makanan asas ini dapat bergerak dari ladang ke pasar raya. 

Ini dapat dijalankan dengan terlebih dahulu mengenal pasti item makanan asasi.

Kemudiannya menjejaki arus perjalanan makanan tersebut dari ladang ke pasaran, dengan mengambil kira jumlah bilangan segmen, pihak yang terlibat, jarak pergerakan dan masa yang diambil. 

Kemudiannya, kelemahan di segmen tertentu dikenal pasti dan diatasi mengikut kes. 

Pada masa yang masa, mereka yang terlibat di sepanjang rantaian makanan perlu diberi bantuan dan bimbingan untuk mengikuti langkah berjaga-jaga agar tidak dijangkiti Covid-19 dan penjarakan (distancing) antara manusia masih dapat dipatuhi. 

Tambahan juga, inilah masanya untuk berjinak-jinak dengan Internet of Things. 

Sebagai contohnya, bagi menyelesaikan masalah lambakan sayuran di Cameron ketika Perintah Kawalan Pergerakan, Lazada telah menyediakan platform komunikasi dari petani terus ke pengguna.

Sesungguhnya, kelancaran dan keselamatan pihak yang terlibat di setiap segmen rantaian bekalan makanan amat penting untuk menjamin keselamatan makanan negara, terutamanya ketika penularan wabak COVID-19.

*Sarena Che Omar, DPhil (Oxford) adalah Penyelidik Kanan di Khazanah Research Institute (KRI) dan tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pandangan KRI*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen