Lindungi Orang Asal di Sarawak semasa PKP


Sahabat Alam Malaysia (SAM) menerima laporan daripada komuniti orang asal di pedalaman Sarawak tentang bagaimana perintah kawalan pergerakan (PKP) telah memberikan kesan terhadap mereka.

Komuniti ini kini bimbang tentang bekalan makanan penting, barangan keperluan seharian dan wang tunai yang semakin berkurangan, dan ketidakupayaan mereka untuk mencapai perkhidmatan kesihatan, perbankan dan pelbagai perkhidmatan penting yang lain di bandar-bandar terdekat. 

Akibat dari pengurangan kesuburan tanah dan pembiakan makhluk perosak yang berpunca dari operasi pembalakan dan perladangan, dalam 30 tahun terakhir ini, ramai keluarga orang asal di Sarawak telah terpaksa menghentikan penanaman padi bukit. 

Untuk keluarga seperti ini, beras sekarang dibeli dari bandar yang terdekat, sama juga seperti minyak masak, herba dan rempah ratus perasa, sos, gula, garam, susu formula bayi, tepung, kopi dan teh, dan barangan kegunaan seharian seperti bahan api dan produk penjagaan diri dan pencucian. 

Mereka masih bernasib baik kerana dapat memperolehi sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan dari tanah pertanian dan sungai, membuktikan betapa pentingnya strategi kepelbagaian pertanian untuk jaminan bekalan makanan.

Oleh itu, untuk memastikan kebajikan mereka dilindungi, kami menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan-tindakan berikut dengan segera:

(i) Penubuhan jawatankuasa khas pengurusan bencana kampung yang tanggungjawabnya meliputi:

  1. pelaporan keperluan penting komuniti mereka, termasuklah bekalan makanan dan keperluan seharian yang utama serta sebarang keperluan khusus yang lain seperti bekalan air bersih, kepada pihak berkuasa yang ditentukan, dan kerja-kerja mengenal pasti dan pemantauan bersama berkaitan dengan tatacara penghantaran keperluan-keperluan ini;
  2. pengedaran adil makanan dan barangan penting yang telah dihantar oleh pihak berkuasa dalam kalangan anggota komuniti mereka, berdasarkan bilangan isi rumah dan pertimbangan tentang sebarang keperluan khusus keluarga tertentu;
  3. pengeluaran kebenaran bertulis untuk anggota komuniti yang perlu mendapatkan perkhidmatan penting seperti temujanji dan kecemasan perubatan serta perbankan di bandar serta koordinasi bersama pihak berkuasa yang berkenaan untuk membantu individu-individu ini melakukan perjalanan dan mencapai perkhidmatan-perkhidmatan tersebut; dan (d) pelaksanaan prosedur operasi standard apabila seseorang anggota komuniti disyaki menunjukkan tanda-tanda yang dikaitkan dengan Covid-19.

(ii) Penghantaran terus secara pukal segala barangan penting kepada komuniti oleh pihak berkuasa, untuk memastikan kontak langsung yang minima, dengan mematuhi kesemua garispanduan PKP.

Pelaksanaan menyeluruh mekanisme bantuan ini tidak boleh mendiskriminasikan komuniti di bawah pimpinan persatuan penduduk dan ketua kampung yang tidak dilantik kerajaan negeri.

(iii) Larangan ketat ke atas sebarang lawatan ke komuniti orang asal oleh mana-mana pihak luar, termasuklah para pekerja syarikat perladangan dan pembalakan; serta misi sukarelawan dan kemanusiaan, kecuali jika permit rasmi telah diberikan kepada sesebuah misi itu.

(iv) Penghantaran bantuan yang sama kepada asrama-asrama sekolah di pedalaman yang memerlukannya.

(v) Peruntukan bantuan melalui jawatankuasa khas berkenaan, jika ianya dapat dilakukan, agar komuniti luar bandar dapat memasarkan hasil pertanian mereka di pusat-pusat penjualan yang terdekat, supaya mereka dapat terus menjana pendapatan, dan pada masa yang sama, pembaziran hasil-hasil pertanian ini dapat dielakkan dan jaminan bekalan makanan tempatan dapat dipertingkatkan.

Mekanisme pemasaran ini mungkin memerlukan sokongan pakej stimulus yang khusus dan bantuan logistik dari pihak berkuasa berkenaan.

(vi) Kebenaran yang jelas untuk komuniti orang asal luar bandar yang lokasi mereka masih lagi berdekatan dengan bandar-bandar kecil di pedalaman, di mana PKP ini dilaksanakan dengan ketat oleh pasukan polis dan pihak berkuasa tempatan, untuk meneruskan kegiatan pertanian mereka di kawasan yang lokasinya masih lagi berada di dalam jarak yang dibenarkan dari perumahan mereka, samada untuk penjanaan pendapatan ataupun keperluan sara diri, jika penjarakan sosial dan langkah-langkah berjaga dapat dipatuhi mereka. 

Adalah menjadi harapan kami bahawa syor-syor kami ini dapat dipertimbangkan dan dilaksanakan secepat yang mungkin oleh pihak berkuasa. 

* Meenakshi Raman merupakan Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM).


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen