Ambil kira isu kesesakan di penjara, kata Ketua Hakim Negara


Bede Hong

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Man berkata isu kesesakan di penjara perlu diambil kira selepas ramai dikenakan hukuman penjara kerana ingkar perintah kawalan pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2020.

KETUA Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Man meminta agar hakim-hakim mengambil kira isu kesesakan penjara apabila menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang ingkar terhadap perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dalam surat yang dikeluarkan hari ini Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan kepada semua pegawai kehakiman untuk menimbang semula hukuman yang boleh menimbulkan risiko penyebaran jangkitan Covid-19 akibat kesesakan yang berlaku di penjara.

Arahan dibuat selepas kebimbangan dibangkitkan oleh Jabatan Penjara bahawa penjara mungkin menjadi sumber wabak Covid-19 yang baharu disebabkan kesesakan yang berlaku.

“Di samping mengambil kira peruntukan hukuman berdasarkan undang-undang sedia ada, masalah berkenaan risiko penularan wabak Covid-19 yang bakal dihadapi penjara di Malaysia boleh juga diambil pertimbangan dalam menjatuhkan hukuman bagi kesalahan pelanggaran PKP,” kata pejabat itu dalam kenyataan. 

Semalam Ketua Pengarah Jabatan Penjara Zulkifli Omar menghantar surat kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh menyatakan kebimbangannya berikutan kesesakan di penjara dan meminta hakim menjatuhkan hukuman khidmat masyarakat kepada pesalah.

Zulkifli berkata sehingga 1 April seramai 378 orang dikenakan hukuman penjara kerana melanggar PKP.

“Selain menambahkan kesesakan di penjara Jabatan Penjara bimbang mereka boleh menjadi sumber jangkitan Covid-19 kerana status mereka yang tidak diketahui,” katanya sambil menambah potensi penyebaran wabak boleh mengancam kehidupan banduan dan kakitangan. – 5 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen