Malcolm Young meninggal dunia


Pemain gitar AC/DC Malcolm Young meninggal dunia pada usia 64 tahun. Pengasas kumpulan rock lagenda itu sudah tiga tahun menderita penyakit dementia, kehilangan yang disifatkan adiknya, Angus sebagai meninggalkan legasi yang besar. – Gambar laman AC/DC, 18 November, 2017.

PEMAIN gitar AC/DC Malcolm Young meninggal dunia pada usia 64 tahun, umum kumpulan itu pada Sabtu.

Young mengasaskan kumpulan rock Australia itu bersama adik lelakinya Angus, yang menyifatkan abangnya meninggalkan “sebuah legasi besar”.

“Hari ini dengan penuh duka AC/DC mengumumkan kematian Malcom Young,” tulis kenyataan yang disiarkan dalam laman sesawang kumpulan itu.

“Dengan dedikasi dan komitmen besar, beliau adalah kuasa hebat di sebalik kumpulan ini.

“Selaku pemain gitar, penulis lagu dan visinya, beliau adalah lelaki sempurna dan unik.”

Dikenali ramai kerana lagu Highway to Hell, AC/DC diasaskan pada 1973, menghasilkan 17 album dan terjual lebih 200 juta salinan di seluruh dunia.

Malcolm menderita penyakit dementia sejak tiga tahun lepas dan digantikan anak saudaranya, Stevie Young.

Adik lelakinya Angus mengatakan: “Selaku adik sukar meluahkan kata-kata tentang betapa berertinya beliau sepanjang kehidupan saya, hubungan yang kami ada unik dan sangat istimewa.

“Beliau meninggalkan legasi besar yang akan hidup selamanya.

Abang mereka, George yang disifatkan ahli kumpulan sebagai mentor meninggal awal tahun ini.

Tiga beradik itu dilahirkan di Scotland.

Mereka berhijrah ke Australia ketika kanak-kanak bersama keluarga mereka, walaupun abang sulung mereka kekal di UK. – AFP, 18 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen