Habis Covid-19, terbitlah 'Covid-E'


Zainal Rashid Ahmad

Malaysia berdepan risiko krisis ekonomi yang serius ekoran penularan wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2020.

FIRMA akauntan Deloitte pada 2018 menyenaraikan industri bola sepak global bernilai AS489 bilion atau RM2.15 trilion.

Deloitte menganggarkan pada 2022, nilai bola sepak global mencapai AS614 bilion (RM2.7 trilion).

Bagi tahun ini, nilainya AS550 bilion (RM2.42 trilion).

Industri bola sepak global mula berkembang pesat dengan nilai AS200 bilion (RM888 bilion) pada Piala Dunia 1992.

Secara purata, industri bola sepak dunia tumbuh 6% setahun.

Bola sepak Eropah paling pesat berkembang dan menguasai lebih 40% ekonomi sukan nombor satu dunia itu. 

Bagi laporan tahunan 2018, Deloitte menyebut, bola sepak Eropah mencapai keuntungan bersih £22 bilion (RM120 bilion). 

Lima liga utama di Eropah - EPL (England), La Liga (Sepanyol), Bundesliga (Jerman), Sirie A (Itali) dan Ligue 1 (Perancis) mengaut untung £12.6 bilion (RM68 bilion) dengan peningkatan keuntungan 9% setahun.

Anehnya, dengan rekod keuntungan yang pesat berkembang sejak 1992, bagaimana industri bola sepak Eropah boleh terjejas dengan mudah? 

Bola sepak Eropah kini bergoyang setelah sebulan Covid-19 melanda benua kaya itu?

Sejak era bola sepak moden Eropah bermula ketika Piala Dunia England 1966, penganjur kejohanan sentiasa meraih untung berbilion dollar. 

Sukan bola sepak juga selama 60 tahun sangat mapan cabaran.

Ketika dunia berdepan kemelesetan ekonomi 2008 akibat krisis sub-prima di AS, bola sepak langsung tidak terjejas. 

Namun, ketahanan industri ini akhirnya goyah dalam tempoh empat minggu ini.

Sebulan selepas UEFA menggantung semua perlawanan liga dan kejohanan peringkat benua akibat Covid-19, liga di 56 negara UEFA mulai merapuh dan merudum. 

Mengapa? Jawapannya mudah. 

Bola sepak tumbang kerana bisnes industri ini bergantung kepada empat teras utama pendapatan komersilnya. 

Hak jualan siaran langsung, pengiklanan, jualan cenderamata dan tiket stadium. 

Apabila EUFA menggantung semua kejohanan liga domestik dan benua, empat elemen pendapatan kelab bola sepak ikut melumpuh. 

Ia mencetuskan teori domino. Kelab kehilangan kantung pendapatan. Tiada hak royalti dari SkyTV, penyusutan mendadak kontrak penajaan, melemahnya pasaran cenderamata dan akhirnya kehilangan pendapatan jualan tiket.

Bola sepak wajar dijadikan sebagai rujukan. Ia popular, glamor dan relevan.

Namun, kini terjejas teruk. Industri bola sepak sangat relevan dijadikan rujukan untuk menjelaskan bencana ekonomi akibat Covid-19. 

Terus muflis dan terus panik 

Juara tujuh kali Liga Slovakia, kelab Zilina diisytiharkan muflis Rabu lalu.

Kelab itu cuba menstrukturkan kedudukan kewangan yang kritikal sejak Februari lalu. 

Pemain dan staf menerima pemotongan 80% gaji dan elaun. 

Namun, kelab ini gagal bertahan. Zilina mangsa pertama Covid-19 yang turut menyebarkan Covid-E. (Covid-E atau Covid ekonomi merujuk pada kesan akibat wabak Covid-19)

Ini teori domino. Apabila tiada pendapatan royalti hak siaran, pengiklan menarik diri, tiada jualan tiket dan cenderamata - bola sepak yang mapan pun boleh gulung tikar sekelip kata. 

Kelab-kelab terbesar Eropah turut menampakkan kerapuhan daya tahan kewangan hanya selepas sebulan. 

Barcelona yang dikenali antara The Big Eight (Lapan Kelab Terbesar) turut mengumumkan pemotongan 33% gaji dan elaun pemain serta staf pasukan. 

Barcelona paling kontroversi kerana ramai bintang dunia bergaji besar bermain di kelab ini. 

Kos gaji kelab Barcelona menyamai kos gaji 10 kelab lain dalam La Liga.

Akhirnya, Barcelona memilih menyertai Real Madrid. 

Pemain setuju gaji dipotong 33% dan wang digunakan membayar gaji staf bawahan. 

Di England, krisis pemotongan gaji juga kontroversi. Kelab seperti Newcastle dan Tothenham Hotspur kini mendapat dana bantuan kerajaan bagi biaya gaji staf sokongan kelab itu.

Dua kelab EPL ini terpaksa menyenaraikan staf sokongannya dalam skim bantuan gaji yang dibayar kerajaan.

Liga Perdana Inggeris kini mula mendesak kelab dan pemain melaksanakan pelan pemotongan gaji. 

Ini bagi membolehkan tiada dana kerajaan digunakan untuk membayar gaji staf sokongan. Ia selaras dengan langkah yang dilaksanakan kelab-kelab di La Liga, Bundesliga, Serie A dan Ligue 1. 

Musim panas kali ini (Mei ke Ogos) yang terkenal dengan musim jual beli pemain - akan menjadi musim paling suram. 

Tidak mungkin ada kelab mampu berbelanja mendapatkan bintang mahal ketika kantung kewangan kelab dijangka menyusut. Ada dua faktor bola sepak Eropah bakal terjejas teruk. 

1. Penyusutan penajaan kerana bisnes penaja juga diserang Covid-E. 

2. Ratusan juta pelanggan siaran langsung di seluruh dunia dijangka menamatkan langganan sebagai tindakan ekonomi. 

Krisis Covid-E satu pengajaran. Kita terkejut, bagaimana industri bola sepak Eropah yang mengalami pertumbuhan 6% ke 9% selama lebih dua dekad merudum sepantas ini. 

Covid-19 dan Covid-E di AS

Amerika Syarikat (AS) negara paling jujur dalam isu Covid-E. 

Rizab Persekutuan (FED) mengumumkan minggu lalu, negara ekonomi terbesar itu kini menuju kemelesetan. 

Kita boleh menjangkakan AS bakal berdepan krisis lebih buruk berbanding tragedi sub-prima pada 2008. 

Krisis 2008 menyebabkan dua institusi kewangan terkemuka AS muflis dalam tempoh sebulan. 

Lehman Brothers yang menanggung hutang AS$613 billion terpaksa mendapatkan perlindungan muflis. 

Manakala syarikat pelaburan AS, Merrill Lynch dijual kepada Bank of America dengan harga AS$50 bilion (RM160 bilion/nilai 2008). 

Sekarang AS berdepan beban Covid-E. Data sosial mengumumkan 6.6 rakyat AS kini menerima bantuan dana pengangguran. 

Angka tertinggi dalam sejarah. Ingat, AS mengumumkan kadar pengangguran ‘tertinggi dalam sejarah’ hanya selepas 18 hari Covid-19 melanda. 

Connecticut antara paling teruk terjejas. Angka pengangguran naik lebih 20% dalam tempoh 18 hari. 

Dari 180 ribu orang, kini bandaraya itu memiliki 220 ribu penganggur. AS sudah melancarkan pakej rangsangan AS700 bilion (RM3.08 trilion) tiga minggu lalu.

Kini dalam proses menambahkan AS2 trilion (RM9 trilion) bagi pakej rangsangan kedua. Kalau AS terkucil, apa jadi dengan Malaysia? 

Elok berterus-terang. Malaysia bakal mengalami kemelesetan ekonomi. Malah, kemelesetan yang lebih parah berbanding krisis matawang 1998. 

Covid-19 dan Covid-E di Malaysia 

Sama ada Covid-19 berakhir atau berterusan tiga ke enam bulan lagi, Malaysia tetap berdepan krisis 2.8 juta orang bakal kehilangan kerja. 

Ini data JP Morgan. Ini bukan data iseng. Ini data panduan bagi rujukan ekonomi global. 

Sekadar sejarah, setelah tiga hingga enam bulan krisis matawang melanda negara ini pada September 1997, lebih 600 ribu orang kehilangan pekerjaan menjelang Jun 1998. 

Kesan ekonomi akibat krisis matawang 1998 hanya pulih pada 2002. 

Kali ini, Covid-E akan menyebabkan sektor Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) paling teruk terjejas. Terdapat 6 juta pekerja di pasaran PKS.

Selain itu, 150 ribu pekerja di lebih 900 hotel utama juga mangsa paling terdedah. Industri hotel tempatan mula mengamalkan pemotongan gaji 50% sejak Februari dan Mac lalu. 

Malah, ada yang sudah menawarkan pelan cuti tanpa gaji kepada pekerja. Keruntuhan sektor perhotelan dijangka berlaku secara besar-besaran penghujung April atau awal Mei ini. 

Industri pelancongan dianggarkan kehilangan RM8 bilion bilion sebulan sejak Januari lalu. Angka itu akan berterusan hingga Julai ini. 

Malah, tidak mustahil hingga Disember. Fokus mendapatkan 30 juta pelancong dan RM100 bilion melalui Tahun Melawat Malaysia 2020, boleh dianggap ‘hancur’. 

Selain catatan JP Morgan mengenai 2.8 juta orang hilang pekerjaan, jangan abaikan peringatan Bank Dunia. 

Oktober lalu, Belanjawan 2020 menyasarkan ekonomi Malaysia akan mencatatkan pertumbuhan antara 4.3% hingga 4.7%. 

Namun, data terkini Bank Dunia menyasarkan pertumbuhan negara akan mengalami defisit -0.1%.

Sekaligus memberi amaran tambahan, jangkaan 2.8 juta orang kehilangan kerja sebagai sangat berasas. Malah, sasaran hilang kerja ini merangkumi radius kumpulan B40 dan M40. 

Presiden MTUC, Abdul Halim Mansor ketika diminta mengulas ramalan Bank Dunia, segera merayu tindakan kesepakatan antara kerajaan, pekerja dan majikan. 

“Satu kesepakatan perlu dicapai antara kerajaan, kesatuan sekerja dan majikan bagi mengelakkan keadaan tersebut berlaku,” katanya. 

Kata Abdul Halim, tanpa kesepakatan antara kerajaan, pekerja dan majikan - nasib pekerja akan memburuk. 

PKS ialah empayar usahawan Bumiputera hasil Dasar Ekonomi Baru (DEB yang dibina Tun Abdul Razak sejak 50 tahun lalu). 

PKS menyediakan 6 juta pekerjaan. Hampir 12,500 syarikat aktif memiliki purata 250 pekerja. Totalnya 3.125 juta pekerja. Sektor utama PKS merangkumi bisnes perkhidmatan, pembuatan, perbekalan dan industri gaya hidup kini menjadi rapuh. 

Tanpa produk dan permintaan akibat tekanan Covid-E, sektor ekonomi Bumiputera ini akan menjadi subjek terawal menerima kesan domino. 

Ribuan syarikat kini berdepan tekanan ditutup atau bankrap. 

*Sektor perhotelan menanti rebah Keruntuhan sektor perhotelan hanyalah satu cabang awal daripada seluruh keruntuhan sektor pelancongan. 

Tahun lalu, industri pelancongan menjana RM92.2bilion melalui ketibaan 28 juta pelancong asing. 

Industri itu dijangka menyusut 70% hingga 80% tahun ini akibat krisis Covid-19. Secara purata industri pelancongan harus menjana RM10 bilion sebulan bagi tahun 2020. 

Namun, Covid-19 sudah menyerang negara ini seawal Januari lalu. Selain 900 lebih hotel elit dengan 150 ribu pekerja, rangkaian 26,907 hotel bajet turut menyediakan hampir sejuta pekerjaan. 

Sekiranya 50% sektor perhotelan kehilangan kerja, 575 ribu orang akan dibuang. Sekiranya industri pelancongan menyusut 70%, apakah sektor perhotelan mampu bertahan. 

Sebenarnya, mendepani realiti ini, kita tidak lagi berada dalam fokus pemotongan gaji 50%. Kita berdepan realiti - sektor perhotelan berdepan tekanan gulung tikar. 

Isnin lalu, 140 pekerja Tower Regency Hotel & Apartments di Ipoh sudah menerima notis. Hotel itu akan ditutup pada 30 April ini. 

Memo dalaman hotel itu menjelaskan, sejak tiga tahun lalu, Tower Regency menanggung kerugian berjuta-juta ringgit. 

Sebarang cubaan untuk bertahan dalam perniagaan, dianggap tidak relevan dalam mendepani realiti Covid-E. 

Khabar dari Ipoh hanya permulaan. Kita menanti berita seterusnya dari lebih 900 hotel elit dan nasib 150 ribu pekerjanya.

Apa nasib pekerja di 26,907 hotel bajet? Presiden Pengusaha Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Emmy Suraya Hussein berkata, pengusaha hotel bajet terpaksa menanggung kos operasi dan membayar gaji pekerja walaupun tiada perniagaan. 

“Ada yang terpaksa mengambil langkah menghentikan perniagaan sementara menunggu keadaan kembali pulih, sekali gus menyebabkan pekerja hilang pekerjaan dan punca pendapatan,” katanya. 

Covid-19 dan Covid-E seterusnya

Apa nasib 40 ribu pekerja industri penerbangan? 

Syarikat penerbangan terkenal negara telah melaksanakan skim potongan 50% gaji pekerja mulai Mac lalu. 

Malah, dengan notis: syarikat hanya memerlukan 15% pekerja berdasarkan limitasi operasi sekarang. 

Industri penerbangan tidak akan pulih dalam enam bulan ini. Apa lagi kesan kewangan apabila syarikat terus membayar gaji pada 85% staf yang tidak diperlukan. 

Pada masa ini operasi penerbangan sangat terhad. Mei dijangka bulan paling tragik bagi pekerja industri penerbangan.

Malah, ia krisis global. Menurut laporan theedgemarkets.com, terdapat syarikat penerbangan domestik sudah menawarkan cuti tanpa gaji selama tiga bulan. 

Itu bukan aneh. Cathay Pacific Airways yang beroperasi di Hong Kong memaklumkan, tempahan kerusi penerbangan jatuh merudum. 

Syarikat itu kini beroperasi dengan 582 penumpang setiap hari sejak Covid-19 memuncak. Angka itu merosot 99% berbanding standard menerbangkan 100 ribu penumpang setiap hari sebelum ini. 

Apa lagi krisis Malaysia

Kerajaan pasti kehilangan 50% pendapatan pada 2020. Ini bukan anggaran nujum. 

Ketika belanjawan 2020 dibuat, harga minyak dianggarkan AS62 setong. Kini, harganya hanya AS22 setong.

Kerajaan kehilangan antara 33% hingga 66% pendapatan industri petroleum. Ingat, petroleum menyumbangkan 33% pendapatan kerajaan dalam Belanjawan 2020. 

Ditambah dengan kemerosotan pendapatan cukai korporat dan individu, serta beban utama kerajaan menyelamatkan PKS, ada relevan kedudukan lebih 600 agensi dikaji semula.

Ketika PH memerintah, pejabat Ketua Setiausaha Negara diarah menyusun pakej rasionalisasi. Ini merujuk pada pembaziran wang akibat pertindihan tanggungjawab antara 30% hingga 70% agensi sedia ada.

Adalah tidak mustahil, ketika kerajaan ketiadaan dana, menutup agensi-agensi yang tidak relevan adalah satu keperluan. – 5 April, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen