2 wartawan Kemboja ditahan, didakwa perisik


Penahahan dua wartawan itu adalah kejadian terbaru selepas pembubaran parti pembangkang di Kemboja. Hun Sen kini meluaskan kuasa autokratiknya menggunakan sentimen anti Amerika. – Gambar AFP, 18 November, 2017.

DUA wartawan Kemboja didakwa menjadi perisik kerana menghantar berita kepada Radio Free Asia (RFA) di Washington ketika kerajaan semakin galak mengekang suara bantahan di negara itu.

Wartawan itu ditahan pada malam Khamis, beberapa hari sebelum parti pembangkang utama Kemboja dibubarkan kerana didakwa berpakat dengan AS untuk mengkhianati negara.

Tuduhan yang disifatkan Washington sebagai tidak berasas dan ditentang kumpulan hak asasi ketika negara itu menuju kepada pemerintahan satu parti di bawah pentadbiran Hun Sen.

Kejadian itu berlaku beberapa bulan selepas tindakan undang-undang diambil untuk mendiamkan musuh politik Hun Sen termasuklah parti pembangkang, NGO dan media bebas. Radio Free Asia dipaksa menutup pejabatnya selepas 20 tahun menerima pelbagai ugutan.

Bekas wartawan RFA- Oun Chhin and Yeang Sothearin – kini berdepan hukuman sehingga 15 tahun penjara kerana didakwa menguruskan sebuah media haram dari sebuah rumah rehat di ibu negara itu, menurut polis.

Selepas melihat “asas mencukupi, pendakwa raya Mahkamah Daerah Phnom Penh memutuskan untuk mendakwa mereka kerana memberikan maklumat kepada negara asing yang boleh menjejaskan keselamatan negara”, kata jurucakap mahkamah Ly Sophana.

Hun Sen, seorang pemimpin ultra nasionalis berkuasa sejak 1985 bergantung kepada retorik anti Amerika untuk menghapuskan pengkritik sebelum pilihan raya 2018 yang kini hampir pasti dimenanginya.

Dakwaan AS menyokong rancangan rampasan kuasa di negara itu mengeruhkan hubungan Kemboja dengan Washington.

Pada Jumaat, Washington mendesak pembatalan keputusan pembubaran parti pembangkang yang disifatkan tindakan membatalkan kesahihan pilihan raya tahun depan.

Jurucakap parti Hun Sen mengatakan negara itu akan baik-baik sahaja tanpa sokongan Amerika.

Kejadian ini adalah kemelut terbaru dalam sejarah panjang hubungan dua negara.

Selepas mengheret Kemboja dalam Perang Vietnam, AS menjadi salah satu penyumbang terbesar negara itu untuk kembali membangun selepas berakhirnya kekejaman rejim Khmer Rouge sekitar 1975-79.

Tetapi pengaruh Amerika semakin berkurangan sejak beberapa tahun lepas ketika China mula mengorak langkah meluaskan pengaruhnya termasuklah membantu pemimpin autokratik seperti Hun Sen dengan bantuan dan pelaburan tanpa mahukan jaminan hak asasi manusia terjaga.

Pengkritik mengatakan sokongan Beijing kepada Hun Sen menyebabkan pemimpin itu semakin berani menekan kebebasan media dan institusi demokratik yang lain. – AFP, 18 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen