Semangat muhibah hadapi krisis Covid-19


Ravin Palanisamy Diyana Ibrahim

Sebahagian keluarga yang tinggal di PPR Pantai Dalam tidak ada kenderaan untuk keluarga membeli barangan keperluan sepanjang tempoh PKP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 4 April, 2020.

MASYARAKAT berjiran di kawasan luar bandar dan bandar saling membantu mereka yang memerlukan ketika virus Covid-19 semakin mengganas dan perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.

Walaupun pakej rangsangan kerajaan memberi perhatian terhadap ekonomi kumpulan terjejas, terutama warga emas dan mereka yang berada dalam kategori B40, masih ada yang berdepan kesukaran.

Bagaimanapun, dalam satu kaji selidik dijalankan The Malaysian Insight, masyarakat biasa bertindak melakukan sekecil-kecil usaha sekalipun untuk membantu jiran mereka yang memerlukan. Ada yang memasak untuk jiran, ada pula membelikan barangan keperluan dan ada berkongsi wang untuk membelikan barangan asas bagi mereka yang tidak berkemampuan.

Di Kajang, penduduk pangsapuri Gapura Bayu memulakan projek “gerobok rezeki” dengan mengumpul lebihan barangan keperluan daripada keluarga yang berkemampuan, dan meletakkannya di rak di surau pangsapuri itu, untuk mereka yang memerlukan.

Mohd Zulfadhli Mohd Zaki, jemaah surau Musolla Al-Rayyan yang memulakan projek itu, berkata ia bagi mengurangkan beban mereka yang tidak mampu membeli barangan tertentu sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

Katanya, banyak keluar mungkin menghadapi masalah sepanjang tempoh ini, dan sebagai jiran mereka patut memberi sokongan apa yang termampu, terutama barangan runcit bagi memastikan setiap orang ada makanan untuk diberikan kepada keluarga.

“Di sini ada tiga blok pangsapuri dan kami tahu ada yang tidak mampu sesetengah perkara, kerana mungkin mereka ada pelbagai masalah pada waktu ini termasuk kekangan kewangan.

“Jadi, kami mulakan bank makanan ini, tidak besar tetapi ia boleh beri manfaat kepada beberapa keluarga di sini. Ia inisiatif yang dilakukan untuk jiran-jiran di sini, tanpa mengira bangsa dan agama,” kata Zulfadhli kepada The Malaysian Insight.

Di pangsapuri sama, Maher Haffizi, seeorang penerbit video berkata beliau akan menawar diri membelikan barang untuk jirannya, bila-bila beliau keluar ke kedai runcit.

Maher berkata beliau biasanya membelikan barang untuk beberapa keluarga, dan menghantarnya kepada mereka.

Penduduk kawasan PPR membeli barangan keperluan di kedai runcit ketika tempoh PKP dikuatkuasakan sejak 18 Mac. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2020.

Katanya, mereka akan membayarnya secara online sebaik saja barangan runcit itu dihantar.

“Saya akan tanya jiran saya jika ada apa-apa yang mereka perlukan dari pasar raya, bila-bila saya keluar membeli barangan runcit untuk keperluan rumah saya.

“Ada antara mereka tidak ada kenderaan. Mereka perlu naik teksi atau grab untuk keluar. Ini hanya bantuan kecil saya saja. Mereka akan beri senarai barang, saya belikan untuk mereka dan mereka bayar,” katanya.

Geng bola sepak tawar bantuan

Di Kuala Lumpur, Vijay Kumar, 35, dan rakan-rakannya yang sama-sama bermain bola sepak menghulurkan bantuan kepada beberapa keluarga di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan membelikan barangan keperluan rumah.

Katanya, sebaik saja PKP dikuatkuasakan, mereka mengumpul wang sesama mereka dan membantu keluarga yang tidak berkemampuan di perumahan kos rendah di Pantai Dalam, iaitu kawasan kediaman mereka.

“Salah seorang ramai cadangkan di kumpulan WhatsApp yang kami patut tolong mereka yang memerlukan. Semua orang setuju dan beri sumbangan.

“Memandangkan saya tinggal di PPR, mereka minta saya uruskan kerana lebih mudah untuk saya bergerak, beli barang dan menghantarnya kepada yang memerlukan.

“Kami beli beras, telur, sardin dan beberapa barang asas untuk kira-kira 12 keluarga yang memerlukan.

“Kita tinggal dalam negara pelbagai bangsa, jadi kami tolong apa yang mampu,” katanya, menambah mereka sedang mengumpul wang untuk bantuan pusingan kedua.

Vijay berkata beliau pergi membeli barangan runcit hampir setiap hari bagi membantu jiran mendapatkan barang keperluan dari pasar raya.

“Saya ada jiran yang kurang upaya, warga emas dan ada juga antara mereka tidak ada kenderaan kecuali motosikal.

“Jadi saya tawarkan diri untuk bantu mereka beli barangan runcit,” katanya. – 4 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen