Menjalani hidup beragama dalam talian di tengah Covid-19


Zaim Ibrahim Chan Kok Leong

PKP larang perhimpunan awam, menyebabkan masjid dan surau ditutup sementara solat Jumaat dan solat fardu harian berjemaah ditangguh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2020.

PENCERAMAH agama Dr Muhamad Rozaimi Ramle mengadakan ceramah secara dalam talian, sebagai ganti pengajian agama yang biasa beliau buat di masjid dan surau, sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan hampir tiga minggu lalu.

Katanya, kuliah agama dalam talian itu dianjurkan oleh jemaah yang memang sudah biasa mengikuti pengajiannya secara berjadual.

“Dalam keadaan terdesak ini manusia jadi kreatif. Mereka (jemaah) ajar saya guna aplikasi dan bayarkan pakej aplikasi itu untuk saya.

“Orang bila sudah biasa dengan ilmuan agama, ada yang sanggup bayar. Harapnya orang ramai lebih menghargai ceramah yang percuma sebelum ini di masjid,” katanya, yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis.

Putrajaya mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, yang kemudian dilanjutkan sehingga 14 April ini, bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Perintah itu antara lain melarang perhimpunan awam, menyebabkan masjid dan surau ditutup sementara solat Jumaat dan solat fardu harian berjemaah ditangguh.

Namun semua itu bukan sia-sia, kata Rozaimi.

Beliau yang juga ketua Jabatan Pengajian Islam di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) mengingatkan wabak Covid-19 adalah cara Allah menguji umatnya yang beriman.

“Allah beri musibah kepada orang beriman dan jika mereka bersabar, itu baik untuk mereka,” katanya.

Dr Muhamad Rozaimi Ramle mengadakan ceramah secara dalam talian, sebagai ganti pengajian agama yang biasa beliau buat di masjid dan surau, sejak PKP dilaksanakan. – Gambar Facebook, 4 April, 2020.

Jelasnya, kekangan untuk ke masjid untuk berjemaah adalah perkara yang kecil kalau dibandingkan dengan mudarat kesihatan sekiranya masjid atau surau jadi tempat penyebaran virus.

“Bagi saya sebenarnya tiada isu pun. Selain pergi ke masjid (untuk menjaga agama), menjaga maruah agama juga satu ibadat,” katanya.

Mengenai halangan berjemaah di masjid terutama untuk solat tarawih sekiranya PKP berlanjutan sampai ke Ramadan, Rozaimi mengingatkan bahawa Nabi Muhammad juga asalnya mengerjakan solat sunat itu bersendirian di rumah.

Beliau menyebut Nabi Muhammad hanya solat tarawih secara berjemaah selama dua malam, kemudian malam-malam seterusnya dilakukan dirumah kerana bimbang, solat itu dianggap wajib dilakukan secara berjemaah di masjid.

Bagaimanapun, baginda kembali beribadat ke masjid pada 10 malam terakhir untuk mengejar Qiammulail.

Rozaimi menjelaskan solat tarawih berjemaah mula dibuat secara berjemaah pada zaman khalifah Umar al-Khattab bagi mengelakkan banyak kumpulan jemaah di masjid.

“Berbuka puasa juga sederhana, bersama keluarga… tidak ada jamuan besar dengan makanan yang hebat seperti kita sekarang.

“Marilah kita mengimbau Ramadan seperti diamalkan Nabi dan sahabat,” katanya.

Salam terakhir dalam talian

Bagi penganut Kristian juga sama, mereka kini mengikuti misa mingguan secara dalam talian, termasuk untuk perayaan Paskah yang akan disambut minggu depan.

Misa pada Selasa lalu dipancarkan melalui saluran YouTube Uskup Kuala Lumpur, dijalankan oleh Paderi Albert Arokiasamy, pembantunya dan seorang pembaca kitab.

“Ketika gereja ditutup, Internet memberi peluang kepada penganut Katolik untuk mengikuti misa walaupun tidak secara fizikal tetapi dengan bantuan teknologi,” kata Paderi Clarence Devadass dari Church of Our Lady of Fatima kepada The Malaysian Insight.

“Pada masa lalu, apabila keadaan seperti ini berlaku, orang hanya boleh duduk di rumah tetapi sekarang dengan teknologi, mereka boleh menonton. Itu membantu semangat jemaah dan perpaduan.

“Itu sebabnya misa dalam talian ini jadi sumber kerohanian yang besar bagi penganut Katolik pada waktu-waktu begini,” tambahnya.

Paderi Clarence, 53, berkata pandemik Covid-19 dan PKP tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Kita menunggu hari-hari yang sukar ini berakhir dan kita boleh kembali ke gereja untuk berdoa bersama-sama penganut Katolik lain.

“Kepercayaan kita ini bukan sesuatu yang bersifat peribadi tetapi jemaah. Oleh itu, berdoa bersama itu sama pentingnya berdoa bersendirian.”

Church of Our Lady of Fatima di Kuala Lumpur. – Gambar Facebook, 3 April, 2020.

Menjelang Jumaat Agung pada 10 April ini dan Hari Paskah dua hari kemudian, Paderi Clarence berkata gereja akan terus ditutup misa harian akan diteruskan secara dalam talian, tanpa jemaah sepanjang minggu itu.

Katanya, upacara dalam talian adalah pengalaman baharu bagi dirinya dan penganut Katolik, sama seperti penganut agama lain belajar menerima realiti baharu. 

“Tidak seperti pelayanan yang sebenar, saya tidak boleh berinteraksi dengan jemaah. Rasa janggal juga bercakap dengan kamera,” tambahnya.

Di Evangelical Free Church di Petaling Jaya, Pastor Ruth Ng berkata gerejanya menyiapkan rakaman doa untuk Jumaat Agung dan Hari Paskah.

“Kami gunakan rakaman dan menggalakkan jemaah menonton pada masa tertentu pada Jumaat Agung dan Hari Paskah,” kata Ng.

Tidak seperti gereja Katolik, Ng berkata gerejanya menggunakan aplikasi Zoom untuk misa pada Ahad.

Qing Ming dalam talian

Sebuah lagi kumpulan yang menggunakan Internet untuk kegiatan agama ialah Kumpulan Xiao En.

Xiao En, yang mengendalikan perkhidmatan pengebumian dan perkuburan, berkata tempat mereka tidak dibuka untuk perayaan Qing Ming kerana larangan PKP.

Xiao En sebaliknya sudah menghantar mesej ia akan menjalankan upacara Qing Ming secara dalam talian hari ini.

Kuil ditutup

Namun tidak semua kumpulan agama memilih jalan beribadat secara dalam talian.

Presiden Hindu Sangam Malaysia Mohan Shan juga berkata pihak pengurusan kuil tidak menyiarkan secara langsung upacara puja atau sembahyang harian mereka.

Katanya, penganut Hindu masing-masing mempunyai altar di rumah dan bersembahyang serta membaca gita puja tevaram di rumah diterima sebagai amalan.

“Kita menerima perintah kawalan pergerakan ini. Kebanyakan daripada kami bersembahyang di rumah dan menyesuaikan diri. Acara sembahyang bulanan juga dibatalkan tetapi penganut Hindu masih boleh terus berpuasa dan bersembahyang di rumah,” katanya.

Katanya lagi, penganut Hindu juga menyebarkan bahan keagamaan sesama mereka dan ini membantu sesetengah mereka untuk terus beramal.

Beliau mengakui ada sesetengah amalan terjejas, misalnya yang memerlukan penganut Hindu ke pantai untuk upacara penutup tempoh berkabung.

Katanya, sesetengah keluarga menangguhkan upacara itu ke satu tarikh lain.

Mengikut data banci pada 2010, 61% rakyat Malaysia beragama Islam, diikuti 19.8% Tao dan Buddha, sementara 9.2% Kristian dan 6.3% Hindu. – 4 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen