Pemuda Gagasan Sejahtera dilancar, adakan konvensyen Febuari depan


Ikhwan Zulkaflee

Ia akan kumpulkan pimpinan daripada pemuda Gagasan Sejahtera dan juga komponen penting blok ini iaitu NGO-NGO yang mewakili semua aspek dan skop dalam masyakarat terutama dalam aspek Islam, kata Ketua Pemuda PAS Khalil Abdul Hadi dalam sidang media Pemuda Gagasan Sejahtera di Ibu Pejabat PAS hari ini.– Gambar The Malaysian Insight, 18 November, 2017.

PEMUDA Gagasan Sejahtera akan menganjurkan Konvensyen Anak Muda pada 24 Februari yang akan menjadi platform belia menyuarakan hasrat mereka.

Sayap Gagasan Sejahtera itu memilih Lembah Klang sebagai lokasi pilihan namun ia belum dimuktamadkan lagi.

Gagasan Sejahtera yang disertai PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) ditubuhkan untuk menjadi blok politik ketiga negara. Blok yang terhasil selepas parti Islam itu memutuskan ikatan politik dengan DAP dan PKR seterusnya merombak Pakatan Rakyat. DAP dan PKR kemudian membentuk Pakatan Harapan bersama parti serpihan PAS, Amanah serta parti baru orang Melayu, Bersatu.

“Ia akan kumpulkan pimpinan daripada pemuda Gagasan Sejahtera dan juga komponen penting blok ini iaitu NGO-NGO yang mewakili semua aspek dan skop dalam masyakarat terutama dalam aspek Islam,” kata Ketua Pemuda PAS Khalil Abdul Hadi dalam sidang media Pemuda Gagasan Sejahtera di Ibu Pejabat PAS hari ini.

“Antara perkara utama kita telah bersetuju di peringkat pusat ialah 12 perkara asas yang saya tak sebut di sini,” katanya lagi apabila disoal apakah atur cara perjalanan konvensyen tersebut.

Khalil turut menyatakan Pemuda Gagasan Sejahtera akan mengadakan jelajah di setiap negeri dalam persiapan blok ketiga tersebut mendepani Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Kami juga setuju rangka beberapa program utama antaranya jelajah negeri atas nama Pemuda Sejahtera dan melibatkan kepentingan bersama berasaskan dasar-dasar utama kepada negara khususnya melibatkan Perlembagaan.”

Sebelum itu, Khalil diumumkan sebagai pengerusi Pemuda Gagasan Sejahtera sementara Ketua Pemuda Ikatan Shahir Adnan sebagai timbalannya.

Setiausaha Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden pula diumumkan sebagai setiausaha Pemuda Gagasan Harapan.

Khalil juga mengulangi pendirian PAS untuk bertanding lebih 100 kerusi Parlimen dalam pilihan raya depan, kerana PAS sudah tiada hubungan dengan Pakatan Harapan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pemimpin DAP Lim Kit Siang bahawa parti Islam tersebut akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN). – 18 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen