Tiada bazar Ramadan sepanjang PKP, kata Ismail Sabri


Alfian Z.M. Tahir

Tiada bazar Ramadan dibenarkan beroperasi sepanjang PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2020.

KERAJAAN memutuskan tidak akan ada bazar Ramadan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) berjalan, kata Menteri Kanan Ismail Sabri.

Tetapi, sekiranya PKP sudah ditarik balik ketika Ramadan bermula, satu prosedur operasi standard (SOP) akan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara untuk menyelia bazar, tambahnya.

PKP kini berjalan sehingga 14 April depan, dan masih tidak jelas sama ada ia akan dilanjutkan.

“Kita akan sediakan SOP selepas PKP, maka soal berkaitan bazar Ramadan akan ditentukan selepas ini sama ada boleh dilaksanakan atau dilaksanakan dengan SOP-SOP tertentu.

“Cuma selagi PKP fasa 2 diteruskan atau tiba-tiba ada PKP lain, pasar Ramadan tidak dibenarkan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri (Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan) hari ini.

Selangor, Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, dan Melaka setakat ini sudah menyatakan tiada bazar Ramadan akan dibenar beroperasi.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa pula menyatakan keputusan berkaitan bazar Ramadan hanya akan diputuskan selepas perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pula berkata sistem kawalan khalayak yang ketat perlu dilaksanakan sekiranya bazar Ramadan dibenar beroperasi.

Hari pertama Ramadan tahun ini dijangka jatuh pada 23 April. – 3 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen