Polis siasat kes pegawai rotan individu langgar PKP


Kalidevi Mogan Kumarappa

Perintah Kawalan Pergerakan peringkat kedua kini berkuatkuasa dengan kawalan diperketat di tiga kawasan manakala 16 daerah dalam zon merah kerana merekodkan lebih 40 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2020.

POLIS menyiasat kes pegawainya yang didakwa merotan lima remaja lelaki yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika menjalankan operasi Covid-19.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Mazli Mazlan memberitahu The Malaysian Insight polis memulakan siasatan dalaman ke atas kes yang berlaku di Kunak, Sabah itu.

Namun, siasatan tetap dijalankan walau tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu setakat ini.

Tambahnya, pegawai tersebut didapati bertindak demikian apabila lima individu berkenaan ingkar arahan polis untuk bersurai dan mentertawakan pegawai tersebut.

“Apa yang saya dimaklumkan, pegawai itu sudah memberi arahan supaya remaja yang melepak di kawasan itu beredar sebelum pegawai itu meneruskan rondaan.

“Namun apabila kembali semula, kumpulan remaja itu masih ada dan sekali lagi pegawai mengarahkan mereka beredar.

“Tetapi mereka tidak mengendahkan arahan polis sebaliknya ketawa,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight, hari ini.

Kesemua remaja lelaki itu dibenarkan untuk pulang ke rumah masing-masing selepas itu, katanya.

Mazli diminta mengulas satu rakaman video tular yang memaparkan seorang pegawai polis merotan lima remaja menggunakan satu objek sepanjang kira-kira sedepa.

Setiap individu tersebut dipukul sekurang-kurangnya sekali, dan salah seorang daripadanya dipukul selama empat kali termasuk di bahagian kepala.

Dalam video sepanjang 26 saat itu, pegawai polis itu antara lain mengarahkan individu tersebut supaya jangan ketawa.

Video berkenaan turut dikongsi Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar yang antara lain mempersoalkan kewajaran tindakan polis itu.

Pada masa sama beliau berpendapat tindakan itu mungkin sesuai untuk mengelakkan orang ramai berhimpun sewaktu PKP berkuatkuasa.

“Dari sudut lain mcm ngam juga, sebab sudah tahu ada larangan tapi masih berkumpul,” katanya.

Video berkenaan mendapat reaksi ramai pengguna yang turut mempersoal kewajaran tindakan pegawai itu.

Perintah Kawalan Pergerakan peringkat kedua kini berkuatkuasa dengan kawalan diperketat di tiga kawasan manakala 16 daerah dalam zon merah kerana merekodkan lebih 40 kes.

Kunak berada dalam zon kuning dengan tujuh kes direkodkan setakat semalam. – 2 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen