Sanggup lawat Anwar, Najib berjiwa besar, kata menteri


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed berkata dalam politik, Anwar adalah musuh Barisan Nasional (BN) namun atas prinsip ukhuwah dan Islamiah, Najib yang juga presiden Umno lebih mengutamakan silaturahim. – Gambar Twitter, 18 November, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak seorang pemimpin berjiwa besar apabila sanggup mengenepikan perbezaan fahaman politik apabila melawat bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menerima rawatan selepas pembedahan di Hospital Kuala Lumpur semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed berkata dalam politik, Anwar adalah musuh Barisan Nasional (BN) namun atas prinsip ukhuwah dan Islamiah, Najib yang juga presiden Umno lebih mengutamakan silaturahim.

“Sebelum ini pun, perdana menteri melawat Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara.

“Ini cara politik matang yang kita amalkan walaupun wujud perbezaan fahaman politik tetapi silaturahim tidak terputus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Semarak Bahasa

Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2017 peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru di Tumpat, hari ini.

Mustapa yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata amalan politik matang tersebut juga dapat dilihat apabila perdana menteri bersama Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob menyelesaikan masalah rakyat ketika bah kuning pada 2014.

Pada 22 September lalu, Anwar yang mendapatkan rawatan untuk masalah kesihatannya di HKL, terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari hospital berkenaan ke Penjara Sungai Buloh.

Anwar dilaporkan menjalani pembedahan artroskopi susulan kecederaan di bahu kanannya, Ahad lepas. – Bernama, 18 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen