Proham minta individu ingkar PKP tidak dilayan seperti penjenayah


Proham berkata tindakan menahan dan mendakwa mereka yang ingkar PKP bertengangan dengan objektif arahan itu dikeluarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Apri, 2020.

PENAHANAN individu yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) bertentangan dengan objektif mengekang penyebaran Covid-19, kata kumpulan hak asasi manusia hari ini.

Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia (Proham) berkata antara objektif PKP adalah untuk memastikan orang duduk di rumah, memastikan penjarakkan sosial di kawasan awam dan mengelakkan orang ramai berkumpul.

“Bagaimanapun, penangkapan, penahanan dan pendakwaan terhadap mereka di mahkamah bertentangan dengan objektif PKP.

“Ketika doktor, jururawat dan sumber hospital kita berada dalam keadaan sukar, tindakan dan prosedur polis itu tidak produktif,” kata pengerusi kumpulan Kuthubul Zaman dan setiausaha agungnya Ivy Josiah dalam satu kenyataan.

Mereka berkata polis kini mendakwa mereka yang melanggar PKP di mahkamah di bawah Perintah Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan Kanun Keseksaan.

“Mereka yang melanggar PKP tidak seharusnya dianggap sebagai penjenayah. Mereka hanya ingkar.

“Proham menggesa pihak polis hanya mengeluarkan notis kompaun dan mereka yang ingkar dibebaskan serta-merta dengan pembayaran, mereka yang gagal membayar boleh dipanggil ke mahkamah sebaik sahaja PKP ditarik balik.

“Dengan cara ini, pihak polis akan membantu memastikan rantaian virus Covid-19 diputuskan dan diingatkan tidak menyebarkannya.”

Proham juga memuji polis dan tentera di atas kerja dan bantuan mereka ketika wabak bagi memastikan rakyat mematuhi PKP.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis akan meneruskan usaha mengetatkan PKP untuk mendapatkan kepatuhan sepenuhnya di seluruh negara.

Beliau berkata ini kerana masih ada orang yang enggan mematuhi perintah itu.

Sementara itu, polis di Kuala Lumpur berkata mereka membuka 105 kertas siasatan berhubung dengan ingkar PKP semasa fasa pertama dari 18 Mac hingga 1 April.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata seramai 194 orang terdiri daripada 127 rakyat tempatan dan 67 warga asing berusia 16 hingga 86 tahun, ditangkap kerana melanggar PKP.

“Seramai 64 orang didakwa di mahkamah.” – 2 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen