Siap sedia puasa, raya berkurung di rumah, kata umat Islam


Mohd Farhan Darwis

Umat Islam kini bersiap sedia untuk menghadapi Ramadan dan Syawal yang berbeza tahun ini sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2020.

UMAT Islam bersiap sedia untuk menghadapi Ramadan dan Syawal yang mungkin sama sekali berbeza tahun ini, menjalani ibadah puasa dan menyambut hari raya ketika dilarang keluar rumah, sementara masjid dan surau ditutup.

Mereka yang ditemubual oleh The Malaysian Insight berkata kemungkinan itu sudah hampir pasti tidak dapat dielakkan melainkan kalau semua orang sama-sama mematuhi arahan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Perintah yang bermula pada 18 Mac lalu sepatutnya berakhir pada 31 Mac tetapi dilanjutkan untuk dua minggu lagi sehingga 14 April.

Noorsakina Badron, 32, berkata, sekiranya perintah itu dilanjutkan lagi, ia sudah tentu akan terkena bulan Ramadan, yang dijangka bermula pada 24 April.

Penjawat awam di Pulau Pinang itu mengaku agak asing untuk umat Islam kalau bulan puasa tiada bazar untuk membeli juadah berbuka puasa atau tidak boleh ke masjid untuk bertarawih – seperti biasa.

Itu belum lagi soal balik ke kampung menyambut hari bersama keluarga, tambahnya.

Tiada aktiviti ibadah di masjid sepanjang bulan Ramadan pasti janggal buat umat Islam di seluruh negara sekiranya perintah kawalan pergerakan terus dilanjutkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2020.

“Syahdu, satu perkataan yang cukup untuk difahami sekiranya PKP dilanjutkan sehingga musim perayaan. Sebagai perantau yang jauh dari keluarga ia memberi kesan yang sangat mendalam.

“Sudah tentu tiada suasana pulang ke kampung halaman untuk beraya bersama keluarga,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

“Ada antara kita cukup bertuah dapat bersama keluarga namun ada yang terpaksa duduk seorang diri mematuhi PKP ini, itu yang harus kita fikirkan,” tambahnya.

Beberapa negeri seperti Terengganu, Melaka, dan Negeri Sembilan sudah memutuskan tiada bazar Ramadan seperti kebiasaannya tahun ini, demi mengekang Covid-19 daripada merebak.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata sebarang keputusan mengenai lanjutan PKP akan bergantung kepada perkembangan penularan wabak itu dalam masa dua minggu ini.

Setakat semalam, 43 kematian direkodkan daripada 2,766 kes positif Covid-19 yang dikesan di Malaysia.

PKP sejak 18 Mac lalu menyebabkan masjid dan surau ditutup setelah pihak berkuasa agama sepakat menggantung solat jemaah dan solat Jumaat serta apa saja kegiatan yang melibatkan perhimpunan.

Mimpi ngeri peniaga

Sementara itu, seorang peniaga pasar malam di Segamat, Johor berkata PKP kalau dilanjutkan akan jadi mimpi ngeri buatnya kerana, setahun sekali, bazar Ramadan adalah peluang untuk menjana pendapatan lebih.

“Memang terkesan sebagai peniaga. Pasar malam tidak ada pun terkesan, apatah lagi kalau bazar Ramadan tidak ada,” kata Azri Atan yang berniaga susu.

Azri, 35, kini beralih menghantar susu jualannya dari rumah ke rumah demi untuk terus bertahan hidup.

“Kita kena melabur di pasaran atas talian, kita buat penghantaran dari rumah ke rumah,” katanya, yang sudah bersedia menghadapi kemungkinan PKP dilanjutkan sehingga Ramadan mahupun Syawal.

“Demi masa depan dan keselamatan kita, terpaksalah kita patuh PKP.

Ketiadaan bazar Ramadan tahun ini akan memberi kesan kepada peniaga yang sentiasa menunggu peluang untuk menjana pendapatan lebih.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2020.

“Kalau kita berdegil dan terus berniaga, tiada pelanggan nak datang, kita juga yang rugi,” katanya, lagi.

“Macam mana Ramadan tidak ke masjid?”

Sementara itu, Samsinar Bokeri, 56, tidak dapat membayangkan keadaan Ramadan tanpa solat tarawih secara berjemaah di surau kampungnya, di Batu Pahat.

Pada setiap malam Ramadan, beliau yang bertani di kampung biasanya akan solat Isyak berjemaah dan selepas itu menunaikan solat sunat tarawih bersama jiran sekampung.

“Kemeriahan bulan puasa itu kita dapat rasai dengan solat tarawih. Kalau tidak ada solat di surau, tiada suasana seperti bulan puasa macam tahun-tahun sebelum ini.

“Lebih-lebih lagi sekarang pun solat fardu dan solat Jumaat sudah tidak boleh dilakukan berjemaah di surau dan masjid,” kata bapa kepada dua anak itu.

Amalina Sofia Hamka, 29, juga berkata walaupun janggal, beliau harus bersedia menghadapi Ramadan dan Syawal yang luar biasa disebabkan Covid-19.

“Raya pada tahun ini pun ada kemungkinan tak dapat balik kampung beraya bersama ahli keluarga saudara mara dan sahabat kalau keadaan sekarang berlarutan.

“Pada saya, kalau kita semua nak sambut Ramadan dan raya puasa seperti biasa, kita kenalah ikut apa yang disarankan oleh kerajaan,” kata anak jati Johor itu. – 2 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen