Daulat, filem politik rebut kuasa, ditayang 6 April ini


The Malaysian Insight

Sedutan dalam filem Daulat yang akan ditayangkan di iFlix mulai hujung minggu ini. – Gambar Imran Sheik, 1 April, 2020.

FILEM politik Daulat, yang heboh di media sosial ketika kemelut politik peralihan kerajaan pada akhir Februari lalu, akan ditayangkan di iFlix mulai hujung minggu ini, kata pengarahnya Imran Sheik.

Katanya, tayangan eksklusif itu bermula pada 6 April ini, tanpa sebarang potongan.

“Filem ini kami sudah siapkan Disember lepas lagi. Tetapi apabila kita hantar kepada LPF (Lembaga Penapisan Filem), ia tersangkut.

“Atas sebab itu, dan juga kekangan kerana penularan wabak Covid-19 sekarang, kami rasa kalau nak tunggu masuk panggung mungkin lambat lagi. Mungkin tahun depan,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Imran membuat pengumuman tayangan percuma itu melalui media sosial malam semalam.

Semasa kemuncak kemelut politik yang menyaksikan pentadbiran Pakatan Harapan diganti oleh Perikatan Nasional, akaun rasmi Daulat memuat naik klip kedua video petikan filem itu di media sosial.

Klip video itu memancing reaksi umum yang memberi komen di akaun media sosial Daulat mengatakan mereka mahu menonton filem itu, termasuk antaranya penganalisis politik.

Daulat mengisahkan sepak terajang politik sebuah parti yang kalah pilihan raya dan berusaha untuk mendapatkan semula kuasa.

LPF suruh potong

Imran memberitahu The Malaysian Insight, pihaknya mendapat nasihat daripada LPF supaya beberapa adegan filem itu dipotong.

“LPF tidak suka bila kami gambarkan ahli politik sebagai licik. LPF juga tidak suka sebab katanya ada persamaan dengan ahli politik sebenar.

“Bagi kami persamaan itu hanya kebetulan. Apa-apa yang kami gambarkan pun mesti orang akan cari persamaan. Jadi perbandingan itu susah untuk dielak,” katanya.

The Malaysian Insight difahamkan LPF mencadangan potongan melibatkan hampir 40% daripada keseluruhan filem.

Filem Daulat yang bakal ditayangkan di iFlix mulai hujung minggu ini mengangkat sisi gelap dunia politik. – Gambar Imran Sheik, 1 April, 2020.

Sebelum kemelut politik akhir Februari lalu pun, Daulat sudah heboh diperkatakan selepas posternya yang tersebar di media sosial. Poster itu menampilkan pelakon utama Vanidah Imran yang digambarkan seperti potret diplomat Itali, Niccolo Machiavelli, tokoh abad ke-15 yang sering dirujuk sebagai pengasas ilmu politik.

Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight pada November lalu, Imran berkata Daulat tiada kena mengena dengan keadaan politik semasa Malaysia sejak pilihan raya umum bersejarah pada Mei 2018.

“Cerita dan watak dalam filem ini hanya fiksyen semata-mata. Saya mendapat inspirasi daripada senario politik tetapi telah ditukar untuk hiburan fiksyen. 

“Ia tiada kaitan dengan mana-mana ahli politik di Malaysia ini. Jika ada ia hanya kebetulan,” katanya.

Daulat mengisahkan tentang presiden Parti Muna yang kalah pilihan raya, Hassan (dilakonkan Tony Eusoff) mengangkat Suri (Vanidah) sebagai timbalannya. Matlamat mereka mahu menang pilihan raya yang akan datang.

Untuk tujuan itu, Suri menggunakan suaminya Idrus (Rashidi Ishak), pemilik sebuah media untuk menyebarkan propaganda yang memihak kepada Parti Muna.

Filem ini menampilkan dialog antara lain yang berbunyi: “Langkah pertama kita untuk dapatkan balik takhta, kita kena kukuhkan tapak.”

Daulat turut menampilkan Jasmine Suraya, Cristina Suzanne, Sangeeta Krishnasamy, Jalaluddin Hassan, dan Zul Zamir.

Harapan 

Imran berharap Daulat dapat jadi pencetus membawa naratif filem Malaysia keluar dari kebiasaan dan zon selesa.

“Untuk maju ke depan, kita perlu bersuara dengan bebas.

“Memang kebebasan bersuara ada hadnya tetapi had kebebasan bersuara di Malaysia sangat rendah. Ini menyebabkan masyarakat kita takut untuk bercakap, takut bersuara, takut berfikir.

“Saya harap filem ini akan mengubah keadaan itu,” katanya. – 1 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen