Tiada Ali, tiada Muawiyah, yang ada hanya pengkhianat


SAYA berfikir lama dan dalam sebelum menulis rencana ini kerana dua watak pencetusnya adalah dua orang anak muda yang saya sayang dan menaruh harapan tinggi bahawa mereka akan menjadi antara pewaris kepemimpinan negara tidak lama lagi.

Untuk sekian lama saya berpendapat bahawa sudah sampai masanya kita mula bergerak secara serius membina kepemimpinan baru yang terdiri daripada generasi muda.

Maka atas kepercayaan itulah saya menaruh harapan kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal serta penggiat-penggiat politik yang seangkatan atau lebih dewasa sedikit daripada mereka.

Mungkin ramai tidak setuju dengan saya, tetapi saya terus menaruh harapan kepada watak-watak seperti Nurul Izzah Anwar, Fahmi Fadzil, Hannah Yeoh, Liew Chin Tong, Darell Keiking, Anthony Loke dan Ulya Aqamah Husamudin (Ahli MPT Bersatu) untuk menyebut beberapa orang.

Malang sekali, atau mungkin juga di sebaliknya, rahmat, maka berlakulah rampasan kuasa Langkah Sheraton (the Sheraton Move) yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan terbongkarlah rahsia sebenar di sebalik dua watak ini.

Syed Saddiq memilih untuk menongkah arus kerana berpegang kepada prinsip perjuangan dan menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat jelata dalam Pilihan Raya Umum 2018.

Dia sudah pun mula ditekan dan diasak oleh pelbagai ‘forces’ tangan hitam di peringkat pusat dan negeri Johor. 

Wan Ahmad Fayhsal pula memilih untuk mengambil laluan laju bagi mengisi citi-cita politiknya yang sangat tinggi melalui persekongkolan dengan konspirator Langkah Sheraton.

Syed Saddiq menyokong bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 23 Februari dan akhirnya hilang jawatan menteri.

Wan Ahmad Fayhsal memilih untuk bersama-sama dengan yang menang, dilantik senator dan menjadi timbalan menteri. Sekarang dia sedang mencabar Syed Saddiq untuk jawatan ketua Pemuda (Armada) Bersatu.

Dalam percubaan mempertahankan cabarannya terhadap Syed Saddiq agar tidak nampak oportunistik, Wan Ahmad Fayhsal menulis catatan berikut dalam platform sosial medianya yang berbunyi:

“Wait for my nationwide tour to campaign for my ketua Armada candidacy (sic). I will clear the air. I did not betray Saddiq neither Tun (sic). Our political differences in Bersatu are akin to Saydina Ali vs Mu’awiyyah. Those who called others as TRAITOR is (sic) an extremist like the Khawarij.”

(“Tunggu sehingga saya menjelajah negara untuk berkempen bagi jawatan Kketua Armada. Saya akan beri penjelasan. Saya tidak mengkhianati Saddiq atau Tun. Perbezaan politik kita dalam Bersatu adalah umpama Saiyidina Ali melawan Mu’awiyyah. Mereka yang memanggil orang lain PENGKHIANAT adalah pelampau seperti Khawarij.”)

Ya, dia memilih untuk menulis prakata kepada manifestonya dalam bahasa Inggeris seperti Muhyiddin Mohd Yassin yang menggulung pembentangan Pakej Rangsangan Ekonominya 27 Mac dalam bahasa Inggeris juga.

Dalam penggulungan Bahasa Inggeris itu, Muhyiddin antara lain, berkata: “And, this government may not be the government that you vote (sic) for.” (Dan kerajaan ini mungkin bukan kerajaan yang anda pilih.)

Adakah Wan Ahmad Fayhsal dan bos nombor satunya dalam kerajaan dan parti tidak berani membuat pengakuan masing-masing dalam bahasa Melayu kerana bimbang difahami oleh lebih banyak orang?

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyokong Dr Mahathir Mohamad, manakala Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memilih untuk bersama-sama dengan yang menang, dilantik senator dan menjadi timbalan menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2020.

Tidak ada Khawarij

Jawapan saya mudah saja. Tidak ada Saidina Ali, tidak ada Mau’awiyah dan tidak ada Khawarij dalam keputusan MPT Bersatu pada 23 Februari untuk keluar PH!

Itu hanya cerita budak cerdik yang belum pandai politik tetapi cuba mengabui mata khalayak dengan cerita-cerita kayangan yang dipelajarinya di kuliah-kuliah universiti yang tidak ada makna dalam tendang terajang politik yang sedang dia dan feksyennya dalam Bersatu sedang mainkan.

Saya ada di situ, di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, dalam bilik mesyuarat yang amat dingin pada siang hari, 23 Februari lalu, bagi menghadiri mesyuarat tergempar MPT Bersatu.

Tidak ada Ali. Tidak ada Mu’awiyah. Tidak ada Khawarij. Yang ada adalah kegilaan kepada kuasa dan pengkhianatan terhadap mandat rakyat jelata dalam PRU 9 Mei 2018.

Manteranya adalah, kalau Bersatu tidak keluar PH, ia akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang. Untuk itu, kata Muhyiddin dengan disokong kuat oleh para pengikutnya, “kita wajib keluar hari ini juga.”

Sorak-sorai, berebut pembesar suara dan menghentak meja menenggelamkan rayuan Dr Mahathir agar beliau tidak ditekan dan dipaksa untuk mengorbankan prinsip dan memungkiri janji.

Pada mesyuarat tergempar MPT Bersatu 23 Februari lalu  Muhyiddin Yassin dengan disokong kuat oleh para pengikutnya berkata 'kita wajib keluar hari ini juga'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2020.

Yang tinggal menyokong beliau boleh dikira dengan jari tangan saja. Sebagai seorang demokrat, Dr Mahathir secara terbuka mengaku bahawa beliau tidak lagi mempunyai suara terbanyak dalam MPT.

Yang beliau minta hanyalah sedikit masa untuk berfikir. Itu pun tidak dihiraukan. Malam itu juga Langkah Sheraton dilaksanakan.

Demikianlah buruknya layanan yang mereka berikan kepada orang tua yang memimpin mereka bagi mengalahkan kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional dan menaikkan mereka menjadi menteri, timbalan menteri dan pelbagai lantikan lagi.

Maaf kalau saya katakan dengan rasa kecewa dan dukacita bahawa Wan Ahmad Fayhsal kini muncul sebagai simbol kepada hipokrasi, ketamakan kuasa dan pengkhianatan terhadap keunggulan, prinsip dan perjuangan yang melahirkan Bersatu.

Saya sudahi dengan sebuah pantun nasihat peninggalan nenek moyang kita:

Pergi memburu di padang datar

Dapat rusa belang kaki

Kalau berguru kepalang ajar

Ibarat bunga kembang tak jadi.

Wallahuaklam. Terima kasih. – 1 April, 2020.

* A. Kadir Jasin adalah bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press dan Tokoh Wartawan Negara 2011. Tulisan ini pertama kali tersiar di blognya

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen