Penjawat awam selamatkan Kabinet Muhyiddin, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

Kabinet Muhyiddin Yassin menunjukkan banyak kelemahan terutama dalam isu yang berbangkit daripada krisis Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2020.

KABINET Muhyiddin Yassin boleh dinilai dengan cara ia menangani penularan pandemik Covid-19 kerana setakat ini belum lagi menggariskan lagi dasar-dasar pentadbirannya walaupun sudah sebulan mengambil alih Putrajaya, kata penganalis.

Setakat ini, mereka melihat ada banyak kelemahan terutama melibatkan menteri-menteri yang bertanggungjawab langsung dalam isu yang berbangkit daripada krisis Covid-19.

Kelemahan itu bagaimanapun diselamatkan oleh kecekapan penjawat awam, jelas mereka.

Pensyarah di Universiti Malaya Mohamad Tawfik Yaakub menyebut antaranya Menteri Kesihatan Dr Adham Baba yang dilihat tidak meyakinkan rakyat untuk mengharungi ancaman penularan pandemik ini.

“Saya lebih cenderung menilai prestasi menteri kesihatan yang kurang menonjol dalam mengendalikan kes Covid-19 ini setelah beliau dikritik hebat oleh orang ramai mengenai kontroversi amalan minum air suam.

“Saya kira atas kritikan tersebut menyebabkan beliau kini berperanan di belakang tabir dalam menangani kes Covid-19 dan memberikan ruang kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah untuk berada di barisan paling hadapan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam satu wawancara di televisyen nasional TV1 pada 19 Mac lalu, Dr Adham memberi petua virus Covid-19 “tidak suka panas” dan boleh dinyahkan dari kerongkong dengan air suam dan seterusnya “kalah” dengan asid perut.

Dr Adham dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin turut dikritik kerana cenderung membuat program bersifat publisiti. Dalam program itu mereka bergambar dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) yang sepatutnya boleh digunakan oleh petugas kesihatan di barisan hadapan.

Operasi menangani penularan Covid-19 dalam dua minggu lalu berdepan masalah kekurangan PPE sehingga ada petugas kesihatan yang terpaksa membuat sendiri peralatan perlindungan mereka.

Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun juga dikecam kerana dilihat gagal bertindak proaktif memahami dan menangani isu yang dihadapi oleh keluarga dan wanita susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Pelbagai kelemahan itu wujud tetapi berjaya ditangani oleh jentera kerajaan secara kolektif.

“Ini kerana wabak ini merentas sempadan usia, latar belakang kepakaran, lapisan masyarakat, dan industri yang perlu ditangani bersama,” kata Mohamad Tawfik, yang mengajar politik Malaysia di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran.

Mohamad Tawfik juga menarik perhatian pada beberapa kekeliruan yang timbul terutamanya pada hari-hari awal pelaksanaan PKP yang bermula pada 18 Mac lalu.

Beliau juga menyebut keputusan kerajaan yang berubah-ubah dan tidak konsisten, misalnya mengenai waktu operasi kedai makan, yang membayang sikap berlembut kerajaan.

“Pendekatan yang lembut oleh pihak berkuasa menyebabkan rakyat tidak akur terhadap arahan kerajaan. Apabila pihak tentera dilibatkan, maka baru nampak rakyat patuh,” katanya.

Rakyat juga katanya bersikap sambil lewa menganggap seolah-olah wabak ini tidak menjejaskan mereka, tambahnya.

“Setelah kerajaan bertindak keras melibatkan tentera, mengetatkan kawalan dan akhirnya menyebabkan mereka tersepit dengan kekangan kehidupan seharian barulah rakyat akhirnya beri perhatian serius kepada wabak ini,” katanya, lagi.

Pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Azizuddin Sani pula berkata jemaah menteri pentadbiran Perikatan Nasional hari ini mempunyai ruang lingkup terbatas susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), dengan hanya sebahagian mereka dapat dilihat prestasinya.

“Menteri nak buat program, buat dasar baharu, nak jumpa rakyat pun tak boleh.

“Mereka hanya buat program kebajikan seadanya dalam konteks PKR.

“Tetapi perdana menteri nampak ada ‘command’ dalam kerajaan, paling tidak pun beliau tunjuk kemampuannya ke arah itu,” katanya.

Namun Azizuddin menambah rakyat sebenarnya sekarang tidak begitu memikirkan prestasi menteri sebaliknya lebih khuatir masa depan mereka sendiri sekiranya wabak Covid-19 ini berterusan.

“Orang fikir isu diri sendiri. Keluarga nak makan. Tak boleh keluar rumah… macam keadaan sekarang,” katanya.

Azizuddin bagaimanapun melihat rakyat dapat menerima beberapa menteri dalam pentadbiran baharu ini, berbanding menteri dalam pentadbiran Pakatan Harapan, kerana “mereka ada pengalaman jadi menteri.”

“Rakyat agak ada keyakinan. Itu pentingnya ada pengalaman jadi menteri,” tambahnya.

Masih awal untuk nilai kerajaan Muhyiddin

Sementara itu, pengarah akademik Saudara Sosio-Cultural Research, Wan Ji Wan Hussin melihat masih terlalu awal untuk menilai pentadbiran yang baru berusia sebulan ini.

“Tetapi setakat yang sudah berlaku, saya lihat banyak komen di media sosial menggambarkan kerajaan ini terlalu perlahan dan tidak cekap.

“Sebagai kerajaan baru, ia umpama orang bertatih. Pelantikan menteri, andai dari kalangan yang tidak ada kebijaksanaan, pasti akan melahirkan implikasi yang tidak baik,” katanya.

Wan Ji berkata rakyat sedang melihat pada kerajaan untuk melakukan sesuatu bagi menangani kesan ekonomi akibat Covid-19.

“Saya pun tidak tahu bagaimana keadaan saya dan keluarga dalam jangka PKP ini andai dilanjutkan lagi.

“Kita pun membaca banyak kenyataan pakar ekonomi bagaimana kesan ekonomi rakyat akibat serangan wabak ini,” katanya.

Muhyiddin minggu lalu mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bertujuan meringankan beban yang ditanggung selepas pelbagai pihak hilang mata pencarian terutamanya yang bekerja harian atau berniaga.

Pakej itu bagaimanapun dikritik oleh pakar ekonomi, usahawan kecil dan majikan kerana tidak memberi fokus yang besar pada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dianggar menyediakan 65% peluang pekerjaan untuk rakyat.

Penularan Covid-19 setakat semalam mengorbankan 43 orang di Malaysia, termasuk seorang warga Indonesia. Jumlah itu adalah 1,55% daripada keseluruhan 2,766 kes yang disahkan positif. Daripada keseluruhan kes positif itu juga, 537 telah sembuh dan keluar dari wad.– 1 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen