Mentaliti 'penafsu' cara Malaysia 


Zainal Rashid Ahmad

PADA 17 November kes pertama novel koronavirus (kemudian disebut dengan kod perubatan Covid-19) dikesan di Wuhan, China. Namun, tiada berita kerana ia belum menjadi wabak.

Sebulan selepas itu, berita Covid 19 mula tersiar apabila tiga hingga lima kes jangkitan dilaporkan setiap hari. Pada hujung Disember 2019, China menjadi titik panas paling sensasi.

Sepanjang 69 hari wabak dikesan sejak minggu terakhir Disember, China dan beberapa negara mencatat angka jangkitan melepasi 100 ribu.

Hari ini, selepas lebih 100 hari sejak hujung Disember, angka jangkitan mencapai 700 ribu orang. Lebih 30 ribu kematian dicatatkan di seluruh dunia.

Berbalik semula pada apa yang berlaku sebelum ini. Pada 30 Januari, wabak ini masih dianggap epidemik (wabak setempat) dan hanya masalah domestik di Wuhan dan Hubei.

Hanya pada 11 Mac, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengisyiharkan Covid-19 sebagai pandemik (wabak global).

Sebelum tempoh pandemik, penafsu melihatnya sekadar satu bahan sensasi. Alat memuaskan kehendak libido untuk bergosip di media sosial.

Atau memenuhi ‘adrenalin hitam’ cara penafsu Malaysia mensensasikan ketakutan.

Tragedi di Wuhan dan Hubei ‘diraikan’ dengan stimulasi viral oleh penggila media sosial yang mabuk perhatian.

Manakala media massa pula sekadar melaporkan sumber berita yang dibekalkan agensi berita asing.

Tiga bulan lalu, penafsu belum melihat kegelapan Covid-19.

Wuhan jauhnya 3323.3 kilometer (km) dari Kuala Lumpur. Manakala Hubei pula 3261 km.

Ramai yang bergembira dengan kesan sampingan Covid-19. Ia jadi sensasi kerana harga tiket penerbangan dan penginapan hotel mewah jatuh mendadak.

Caj tiket penerbangan dan bilik hotel mewah secara global jatuh 50%, lima minggu selepas berita Covid-19 mengganas.

Selebihnya, ketika ‘traveller’ cap ayam sedang berpesta tiket murah - pada hujung Februari - penggila Lazada dan Shopee mula meraung marah.

Banyak produk dan tempahan terpaksa dibatalkan.

Lazada dan Shopee syurga bagi penafsu Malaysia yang gila berbelanja atas talian.

Dunia (Malaysia) dipenuhi produk ‘Made in China’. Apabila nafsu berbelanja terjejas, isu Wuhan dan Hubei bertambah riuh.

Sensasi Wuhan dan Hubei

Krisis Wuhan dan Hubei lebih dilihat sebagai bahan sensasi.

Penafsu media sosial lebih suka berdebat: “Bagaimana makanan eksotik - ular dan kelawar boleh membunuh manusia?”

Atau ‘pasar makanan haiwan liar di China sangat menakutkan’.

Pada awal Mac, penafsu Malaysia yang material – terus merungut mengenai Covid-19. Semuanya kerana nafsu hidup yang terjejas.

Sekalipun ngeri, pada awal Februari, penggila travel yang suka beraksi dengan ‘posting bongkak’ di media sosial tetap ghairah meraikan impak Covid-19.

Ramai yang menyalak di media sosial; berkongsi rasa bangga memiliki tiket dan tempahan hotel mewah ke destinasi popular.

Penafsu Malaysia tidak pernah mengalah. Pada malam Perintah Kawalan Perjalanan (PKP) mula dikuatkuasakan 18 Mac lalu, pasangan ‘bulan madu’ masih riak di Instagram.

Penafsu Malaysia masih bangga terbang ke Seoul ketika 100 ribu kes Covid-19 dilaporkan berlaku dan lebih 3 ribu kes kematian dilaporkan.

Malah, ketika itu – selain China – Korea Selatan dan Iran sudah menjadi negara pewabak.

Pada malam PKP dikuatkuasakan juga, pengguna Facebook masih menayangkan kebanggaan berada KLIA.

Posting siapsiaga untuk terbang bercuti ke Jakarta.

Kita boleh muntah membacanya. Selain riak dan bodoh – kita sedih dengan mentaliti Malaysia. “Bertuah. Hanya RM199 aku pergi balik KL-Jakarta!”

Itu nafsu cara Malaysia.

Nafsu masih sama - Oh Malaysia

Setakat 3 petang semalam, angka jangkitan Covid-19 mencapai 787,000 dengan 38,000 kematian.

Namun, penafsu Malaysia tetap sama perangainya.

Cuma, ada sedikit rasa gementar kerana jarak Covid-19 hanya sejengkal di depan mata.

Ketika maut mula mencekik leher rakyat Malaysia – penafsu material lebih riuh berteriak mengenai pakej Makcik Kiah.

Itu respons selepas kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion pada 27 Mac lalu.

“Bagaimana nasib kami?” Tanya pencemburu yang tidak bertuah seperti Makcik Kiah.

“Horey! Horey!” Jerit yang gembira pula kerana menjadi Makcik Kiah.

Begitulah penafsu Malaysia meraikan bencana.

Ketika Covid-19 jaraknya sejengkal di depan mata, penafsu masih dipacu rasa tamak.

Salakan pencemuh

Ramai yang mengeluh mengenai tempuh tambahan 14 hari PKP dilaksanakan hingga 14 April ini.

Berkurung selama 28 hari mengurangkan wang saku. Doa pada mangsa yang meninggal dunia tidak pernah trending. Kecuali kemarahan pada kluster tabligh. 

Itu cara penafsu Malaysia melahirkan ketakutan materialnya.

Si kaya risau, Covid-19 mengurangkan kekayaannya. Si anarkis politik menggunakan tempoh maut ini untuk meraih populariti murahan.

Begitulah ‘kecelakaan’ sikap mentaliti Malaysia.

Pembunuh sebenar menanti kita

Covid-19 akan menjerumuskan dunia pada kemelesetan ekonomi. Amerika Syarikat (AS) lebih awal mengumumkannya.

Sebelum Putrajaya melancarkan pakej RM250 bilion, AS sudah mengumumkan pakej rangsangan hampir RM3 trillion (AS$700 bilion).

Ketika pakej AS dilancarkan, wabak Covid-19 belum bertapak di New York, Los Angeles dan Louisiana.

AS kini menjadi negara pewabak paling aktif dalam lingkaran selepas 100 hari Covid-19.

Dalam tempoh tiga minggu pertama wabak menular, lebih 150 ribu angka jangkitan dikesan. Lebih 3 ribu kematian dilaporkan.

AS (secara politik) lebih panik pada kepentingan material.

Tidak hairanlah, ketika lebih 2,000 nyawa maut (pada 29 Mac), kem Presiden Donald Trump tanpa sedikit pun rasa bersalah, berani menyebut: Sekiranya angka kematian di bawah 100,000 nyawa, AS dianggap berjaya menghadapi Covid-19.

Malah, pasukan penasihat perubatan Trump mengumumkan angka lebih menakutkan.

“Melihat kepada keadaan sekarang, kita dijangka menyaksikan antara 100,000 hingga 200,000 kematian,” kata pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan Dr Anthony Fauci kepada CNN.

“Kita juga bakal menyaksikan berjuta-juta kes,” lapor agensi berita Anadolu.

Fauci, berkata unjuran boleh berubah memandangkan wabak penyakit itu seperti “sasaran bergerak”.

AS minggu ini lebih bergelut mengadakan Sidang Kongres bagi menyegerakan pakej rangsangan ekonomi kedua.

Pasukan Trump menyediakan bil RM9 trillion (AS$02 trillion) bagi menyelamatkan ekonomi negara gergasi itu.

Itu langkah wajar. Langkah pakej rangsangan dilaksanakan di semua negara terkesan. India dengan 1.3 bilion penduduk juga melaksanakan pakej rangsangan.

Walaupun sekitar RM100 bilion (AS$22 bilion) bagi pakej bekalan makanan kepada rakyat miskin.

AS lebih sibuk dengan ekonomi

Wartawan perubatan, Ryan O’Hare pada 23 dan 26 Mac menulis isyarat yang jelas: Wabak Covid-19 mampu membunuh 40 juta nyawa secara global kalau tidak dikawal.

O’Hare menulis di jurnal Imperial College London News dan menghantar isyarat serius kepada seluruh dunia.

Sama seperti di AS dan juga di Malaysia – berita ini kurang diberikan perhatian. AS lebih menantikan Senat bersidang dan meluluskan pakej RM9 trilion.

Malaysia pula sedang trending dengan pakej Makcik Kiah.

O’Hare wartawan perubatan mewakili komuniti United Kingdom yang terkesan dengan keganasan Covid-19 di Eropah.

Wabak ini menjadi ‘mesin pembunuh’ setelah sebulan menyerang benua yang pernah mengalami Wabak Hitam yang mengorban 75 juta nyawa pada 1367-1371.

Itali, Sepanyol dan Perancis mencatatkan lebih dua pertiga jumlah korban global. Manakala UK, Jerman dan Belanda mula menjadi inkubator penularan generasi kedua.

Artikel O’Hare bukan sembarangan. Ia hasil laporan yang dikeluarkan Pusat Kolaborasi Wabak dan Jangkitan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Jurnal O’Hare menyiarkan kajian komprehensif antara WHO dengan Pusat Global Kajian Penyakit Berjangkit (GIDA).

Pakar penyakit berwabak, Abdul Latif Jameel turut menyertai pasukan ini mewakili Institut Wabak dan Analisis Kecemasan (J-IDEA).

Angka kematian domestik yang diunjurkan White House mencetuskan kebimbangan global.

Sekiranya purata 5% kadar kematian global digunakan, jangkitan domestik diunjurkan sekitar 20 juta hingga 40 juta kes.

Apa respons penafsu Malaysia?

Penafsu Malaysia berfikir: Kalau 100 hingga 200 ribu kes kematian di AS, ertinya – wabak ini bakal berpanjangan melangkaui 14 April.

AS akan mengalami tempoh krisis yang lebih panjang berbanding 100 hari di China.

Satu petunjuk jelas, krisis ini juga bakal berlanjutan di Malaysia.

Penafsu Malaysia mulai risau mengenai tempoh lebih panjang pelaksanaan PKP.

Arahan lanjutan PKP wajar dilaksanakan hingga penghujung Mei. Ini penting untuk mengekalkan had minimun pergerakan.

Bazar Ramadan, solat tarawih berjemaah dan pergerakan perayaan Aidil Fitri wajar dilarang. PKP wajar dikekalkan hingga hujung musim perayaan (23 Jun) untuk mengelakkan pergerakan agresif yang meluaskan kembali rantaian jangkitan.

Reaksi penafsu Malaysia mudah dijangka.

Minggu depan, akan muncul suara mendesak kerajaan supaya menambah insiatif pakej Makcik Kiah.

Seperti biasa: Nafsu penafsu Malaysia mudah dijangka.– 1 April, 2020.


* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen