Bantu syarikat hadapi Covid-19, jangan sampai pisang berbuah 2 kali


PERDANA benteri mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat beberapa hari yang lepas.

Pakej ini mengandungi insentif bagi golongan B40, pemandu e-hailing, pegawai perubatan, dan sebagainya. 

Terdapat banyak rangsangan positif yang telah diumumkan seperti RM1.5 bilion peruntukan bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pembelian peralatan hospital, sebanyak RM10 bilion yang akan diberikan secara tunai kepada golongan B40 dan M40, dan RM5.9 bilion untuk memastikan tiada pekerja dibuang atau diberi cuti tanpa gaji oleh majikan. 

Berdasarkan statistik profesor ekonomi dari University Sunway Dr Yeah Kim Leng, kemungkinan besar sejumlah 120,000 hingga 180, 000 rakyat akan kehilangan kerja. 

Terdapat satu lagi peruntukan besar yang disediakan oleh kerajaan yang berjumlah RM50 bilion iaitu bagi syarikat-syarikat korporat.

Ia merupakan satu jumlah yang amat besar, dan iika ditambah ketiga-tiga inisiatif bagi rakyat di atas jumlahnya hanya mencecah sebanyak RM17.4 bilion. 

Walaupun kita tidak boleh bandingkannya seperti epal dengan epal, namun jelas kelihatan peruntukan yang lebih besar diperuntukkan bagi syarikat-syarikat korporat berbanding rakyat.  

Berdasarkan pakej ini, tersedia kemudahan bagi syarikat untuk membuat pinjaman dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM50 bilion. Pinjaman yang dibuat akan memperoleh 80% jaminan daripada kerajaan. 

Ini bukan ertinya pinjaman akan diberikan oleh kerajaan, namun kerajaan akan memberi jaminan bahawa syarikat tersebut akan membayar balik pinjaman yang telah dibuat.

Berdasarkan kadar minimum pinjaman iaitu RM20 juta, hanya syarikat-syarikat yang besar yang mampu untuk membuat pinjaman.

Selain itu, kerajaan juga akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) bagi menguruskan penilaian kredit bagi proses pinjaman, iaitu Danajamin. 

Namun ini bukan kali pertama negara mewujudkan SPV.

Pada zaman krisis kewangan pada tahun 1997, kerajaan telah menubuhkan SPV seperti Cagamas untuk memberikan sumber kewangan kepada bank, bagi membantu rakyat untuk membiayai pinjaman perumahan mereka. 

Namun, masih tiada penjelasan atau panduan yang jelas tentang bagaimana syarikat akan dipilih, siapakah yang mempunyai kuasa untuk menentukan jika syarikat itu terpilih. 

Apakah garis panduan bagi syarikat-syarikat ini jika mendapat bantuan kewangan ini? 

Kita tidak mahu wang ini disalahgunakan dan diberikan kepada syarikat yang terpilih sahaja kerana fahaman politik, ahli keluarga, atau sahabat dekat.

Duit ini adalah hasil titik peluh hasil rakyat yang tanpa penat lelah bekerja siang malam untuk hidup. Tidak adil jika hasil keringat rakyat hanya dinikmati oleh golongan-golongan tertentu sahaja, walhal kebanyakan rakyat hidup menderita.

Berdasarkan laporan “Malaysia’s pathway through financial crisis” oleh Jomo Kwame Sundaram, semasa krisis kewangan pada tahun 1997 wang sebanyak RM60 bilion telah diperuntukkan bagi membantu syarikat yang terkesan semasa kegawatan ekonomi Asia. 

Namun begitu, terdapat kritikan wang itu telah digunakan untuk membantu kroni dan rakan yang cenderong dalam parti politik yang sama.

Ini termasuk syarikat seperti Renong yang dahulunya di bawah kawalan parti politik. 

Walaupun memberikan bantuan kewangan kepada syarikat-syarikat ini memang penting, terutamanya bagi syarikat yang akan mempunyai kesan domino kepada ekonomi negara seperti yang berlaku ketika krisis subprima di Amerika Syarikat pada tahun 2007 and 2008, namun ia harus dilakukan dengan proses yang betul. 

Renong telah dianugerahkan dengan banyak kontrak infrastruktur dan merupakan antara syarikat infrastruktur terbesar di Malaysia pada suatu ketika dulu.

Namun, dengan jumlah hutang yang amat tinggi sebanyak RM20 bilion dan ketika kemelut ekonomi Asia 1997, telah menyebabkan Renong berhadapan dengan masalah kewangan. 

Jumlah hutang daripada Renong merangkumi sebanyak 5% dari sistem perbankan. Dalam pada itu juga, menurut laporan “The Effect of Corporate Reforms and State Business Relation in Malaysia”, Renong dilaporkan mempunyai banyak kes penyelewengan. 

Bantuan kewangan “bailout” tetap diberikan kepada Renong apabila United Engineers Malaysia (UEM) membayar RM2.4 bilion bagi 33% saham di Renong. 

Namun soalan yang penting ialah, mengapakah “bailout” masih diberi kepada syarikat yang tidak mempunyai kredit kewangan yang tidak kukuh? 

Patutkah duit rakyat digunakan untuk memberi bantuan kewangan atas kesalahan pentadbir syarikat itu sendiri? 

Kerajaan harus menyediakan garis panduan supaya ada proses yang telus dan syarikat yang diberikan bailout ini betul-betul layak menerimanya dan akan menggunakannya bagi membantu ekonomi negara.

Antara yang boleh dilakukan oleh kerajaan adalah seperti di bawah: 

1. Melantik badan bebas bagi memantau implementasi syarikat yang telah diberikan pinjaman kewangan. Ini untuk mengelakkan syarikat tersebut menggunakan sumber kewangan itu untuk kepentingan diri sendiri seperti membayar bonus pengarah atau dividen kepada pemegang saham dan sebagainya. 

Seharusnya wang tersebut digunakan bagi menjaga pekerja, membantu pengurusan syarikat dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan. 

2. Kerajaan tidak boleh memberi pinjaman kewangan kepada syarikat yang mempunyai hubungan dengan mereka. Ini kerana ia merupakan “conflict of interest”.

Di Amerika Syarikat juga bagi pakej stimulus untuk syarikat korporat juga telah ada peraturan bahawa “bailout” tidak boleh diberi kepada syarikat yang mempunyai hubungan dengan ahli kerajaan. 

3. Kerajaan perlu telus dalam memberi pinjaman kewangan bagi syarikat-syarikat yang diberikan dengan memilih syarikat yang mempunyai laporan kewangan yang kukuh.

Janganlah diberikan kepada syarikat yang tidak kukuh dan yang tidak akan mampu membayar balik pinjaman kelak.

Janganlah dibiarkan pisang berbuah dua kali. Cubalah kita belajar dari kesilapan yang lepas. 

Kita tidak tahu berapa lama dan impak Covid-19 pada negara, namun pengurusan kewangan haruslah dijalankan secara penuh integriti dan penuh tekun demi membantu negara. – 1 April, 2020.

* Sophie Shakur adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen