Masa untuk nasihat sudah habis, kata Hamzah Zainuddin


Kalidevi Mogan Kumarappa

MASA untuk nasihat sudah habis, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, kepada orang ramai yang sehingga ini masih berdegil tidak mahu menjalani saringan kesihatan walaupun ada sejarah berhubungan dengan mereka yang dijangkiti Covid-19.

Katanya, polis selepas ini tidak akan mengeluarkan nasihat lagi sebaliknya hanya akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyembunyikan maklumat pernah mempunyai kontak, terutamanya dengan kluster jemaah tabligh.

Hamzah bagaimanapun enggan menjelaskan jenis tindakan tegas yang akan diambil.

“Kita tidak boleh mengkaji seorang demi seorang yang ada kontak dengan kluster tabligh ini jadi kita mohon pada mereka terutamanya ahli keluarga untuk keluar buat saringan. Kita bukan hendak tahan tetapi buat saringan sahaja.

“Contoh dia tahu dalam keluarga, ada yang positif atau menghadiri himpunan tabligh, jadi secara kerjasama pergi buat saringan.

“Ini adalah amaran pertama dan kita akan ambil tindakan tegas jika tidak beritahu selepas ini atau cuba menyembunyikan maklumat itu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Sidang media itu disertai Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Menurut Hamzah, tindakan tegas itu sudah dimulakan semalam dan polis akan menggiatkan usaha mengesan mereka yang mempunyai kaitan dengan kluster Covid-19 khususnya membabitkan peserta perhimpunan tabligh.

“Setakat ini kita mengesan seramai 10,000 orang dan mereka ini sudah membuat saringan tetapi kita juga tidak mempunyai senarai sebenar mereka yang terbabit.

“Oleh demikian, kami meminta mereka keluar membuat saringan dan jika ada sesiapa termasuk ahli keluarga yang tahu situasi itu perlu memaklumkan kepada pihak bertanggungjawab,” katanya.

Minggu lalu, Dr Noor Hisham mendedahkan jangkitan dari kluster Sri Petaling sudah berlapis-lapis sehingga ke generasi kelima lalu menyebabkan siasatan kes rumit dan memakan masa.

Sekitar 55% daripada kes jangkitan positif Covid-19 di Malaysia dikesan melibatkan peserta perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, yang berlangsung antara 28 Februari hingga 3 Mac lalu.

Dr Noor Hisham juga sebelum ini menjelaskan pihak Kementerian Kesihatan tidak maklum mengenai perhimpunan tersebut, yang berlangsung ketika wabak Covid-19 sudah lebih sebulan dikesan menular di Malaysia.

Beliau hanya maklum selepas diberitahu oleh rakan sejawatnya di Brunei mengenai kes jangkitan pertama di negara itu pada 9 Mac, tujuh hari selepas perhimpunan itu berakhir. – 31 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen