Kes di Menara City One ada kaitan jemaah tabligh, kata KP Kesihatan


Noel Achariam

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan perintah kawalan pergerakan lebih ketat di Menara City One berkuatkuasa sehingga 13 April. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 31 Mac, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan akan menyaring semua penghuni Menara City One di Kuala Lumpur selepas kes jangkitan Covid-19 di bangunan itu mempunyai kaitan dengan kes yang melibatkan jemaah tabligh, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Keseluruhannya ada 17 kes positif yang dikesan di menara itu setakat hari ini, katanya.

“Kita dapati kes di Menara City One ada 17 kes yang ada kaitan dengan kes indeks jemaah tabligh, dan kes itu menjangkiti ahli keluarga 12 orang.

“Kes-kes itu merebak dengan cepat sehingga menyebabkan kita mengenakan perintah lebih ketat,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini, memaklumkan perkembangan penularan Covid-19 di Malaysia.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perintah kawalan pergerakan lebih ketat di Menara City One berkuatkuasa sehingga 13 April.

Sementara itu, The Star memetik pihak pengurusan kondominium itu berkata hanya satu kes jangkitan dikaitkan dengan kluster jemaah tabligh di Sri Petaling sementara kes lain melibatkan sebuah keluarga yang tinggal di dua buat unit kediaman.

“12 orang yang dijangkiti adalah dari sebuah keluarga besar, yang mungkin dijangkiti kerana bersesak,” katanya.

Lebih 20 kakitangan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya juga dilaporkan hadir untuk membuat saringan Covid-19 di Menara City One. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 31 Mac, 2020.

Pihak pengurusan itu juga dipetik berkata tidak adil untuk mengatakan kediaman itu banyak kes kerana ramai warga asing tinggal di situ.

Menara City One adalah bangunan kediaman pertama yang dikenakan perintah lebih ketat, selepas perintah sama dikuatkuasakan di dua kawasan di Simpang Renggam dan di Sungai Lui, Hulu Langat.

Perintah lebih ketat di Menara City One melibatkan 3,200 penduduk yang tinggal di 502 buah unit.

Dalam pada itu, media melaporkan pihak polis mengawal ketat Menara City One di Jalan Munshi Abdullah di Kuala Kumpur dengan tidak membenarkan pergerakan keluar dan masuk.

Hanya khidmat penghantaran makanan dibenarkan setakat pintu masuk, lapor Sinar Harian.

Lebih 20 kakitangan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya juga dilaporkan hadir untuk membuat saringan Covid-19. – 31 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen