Agensi anti rasuah Indonesia tahan speaker Parlimen


Polis dan ahli keluarga Speaker Parlimen Indonesia Setya Novanto (berbaring) menemaninya ketika beliau dipindahkan ke hospital lain di Jakarta semalam selepas mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya. – Gambar AFP, 18 November, 2017.

AGENSI anti rasuah Indonesia malam tadi menahan speaker Parlimen republik itu, Setya Novanto berhubung siasatan dakwaan penyelewengan dana projek kad pengenalan biometrik (e-KTP) membabitkan nilai RM723 juta, lapor media di Jakarta.

Suruhanjaya pencegahan rasuah Indonesia (KPK) mengeluarkan surat perintah tahanan ke atas Setya yang kini dirawat di hospital di Jakarta selepas mengalami kemalangan jalan raya malam kelmarin.

Setya melalui peguam dan keluarganya, bagaimanapun menolak untuk menerima surat perintah tersebut, lapor portal berita Detik News.

Setya yang juga Ketua Umum Parti Golkar mengalami kemalangan ketika kononnya dalam perjalanan untuk menyerah diri kepada agensi anti rasuah itu.

“Berdasarkan bukti yang cukup kerana disyaki terlibat jenayah rasuah bersama pihak lain dalam kes e-KTP, KPK menahan Setya Novanto selama 20 hari ke depan mulai 17 November hingga 6 Disember 2017,” kata jurucakap agensi itu, Febri Diansyah, seperti dipetik CNN Indonesia.

Setya kini ditahan di wad khas di Hospital Cipto Mangunkusumo selepas dipindahkan dari Hospital Medika Permata Hijau untuk menjalani pemeriksaan imbasan MRI susulan kecederaan pada kepalanya.

Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) itu pada malam Khamis “menghilangkan diri” selepas KPK mengeluarkan waran tangkap dan datang ke kediaman speaker di Jakarta Selatan. Selepas lima jam menggeledah rumah itu, Setya gagal ditemui.

KPK kemudian mengeluarkan amaran menyenaraikan dia sebagai orang dikehendaki sekiranya tidak menyerahkan diri dalam masa 24 jam.

Agensi anti rasuah itu minggu lalu menamakan Setya, untuk kali kedua, sebagai suspek kes penyelewengan projek kad pengenalan elektronik (e-KTP), dua minggu selepas dia berjaya membatalkan pertuduhan pertama melalui perintah mahkamah pada akhir September lalu.

KPK pertama kali menamakan dia sebagai suspek pada 17 Julai lepas, dengan dakwaan jadi dalang utama penyelewengan dana projek kad pengenalan biometrik itu. Dia menafikan semua tuduhan.

Setya sebelum ini tiga kali dipanggil oleh KPK untuk memberikan keterangan sebagai saksi, dan pada Rabu dipanggil sebagai suspek, namun tidak sekali pun dia hadir, dengan bermacam-macam alasan.

Presiden Indonesia Joko Widodo pada Jumaat meminta Setya menghormati proses undang-undang republik itu yang dilaksanakan oleh KPK.

“Saya yakin proses hukum yang ada di negara kita ini terus berjalan dengan baik,” katanya, seperti dipetik oleh Jawa Pos.

Sementara itu, polis menamakan wartawan stesen televisyen MetroTV, Hilman Mattauch, yang memandu kereta dinaiki Setya, sebagai suspek kes memandu dengan cuai sehingga membawa kepada nahas malam kelmarin.

Polis setakat ini belum dapat mengesahkan apakah kemalangan itu betul-betul berlaku atau hanya cerita yang diada-adakan saja, lapor The Jakarta Post. – 18 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen