Menggalang Barisan Bersatu


VIRUS korona telah menyerang Malaysia. Virus ini muncul pada akhir tahun 2019 di Wuhan, China. Kini virus korona telah merebak ke seluruh dunia. Pada 12 Mac 2020 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan serangan virus ini sebagai pandemik di seluruh dunia.

Kita akan masuk ke minggu ketiga dan keempat berkurung. Kita dilarang oleh kerajaan daripada keluar rumah bagi menghindarkan diri daripada dihinggapi virus korona. Kita diwajibkan berkhalwat di rumah. Membuat kerja dari rumah. Menjarakkan diri dan menjauhkan diri dari orang ramai.

Maka dari sini muncul persoalan hakiki yang wajib kita hadapi dalam menghadapi serangan virus halimunan ini. Apakah sikap kita – anak semua bangsa, bangsa semua agama – warga Malaysia ketika berhadapan dengan Covid-19 ini?

Pandangan dari saya – ini adalah pandangan yang telah saya kongsikan dengan kawan-kawan warga Malaysia di dalam dan di luar negara; ini adalah usaha kami dan usaha kita untuk bersetiakawan dengan anak semua bangsa di bumi manusia – projek utama untuk melawan Covid-19 ialah menggalang Barisan Bersatu atau United Front.  

Saya amat yakin dengan pendekatan united front. Malah saya penuh keyakinan – hanya dengan menggalang united front maka barulah kita akan berjaya mengalahkan virus korona ini.

United Front ini memerlukan beberapa perkara wajib:

1. Wajib pertama, kerajaan yang berkuasa di Persekutuan atau Negeri hendaklah bercakap benar.  Mengeluarkan kenyataan yang benar. Memberi maklumat benar. Jangan putar belit. Jangan ada gajah di belakang nyiru.

Ancaman dan menakut-nakutkan orang ramai bukan sesuatu yang bijak. Bercakap benar adalah bijak.

Kebenaran akan melahirkan keyakinan orang ramai. Keyakinan orang ramai ini amat-amat penting pada ketika ini. Dengan keyakinan dan kepercayaan orang ramai kepada kerajaan, maka arahan kerajaan senang dipatuhi.

2. Wajib kedua ialah semua parti politik perlu menanggalkan baju politik mereka untuk menjadi warga Malaysia. Pemimpin parti politik – dari pihak kerajaan dan pembangkang, perlu mengelak daripada membuat kenyataan yang memperlekeh musuh politik.

Jangan ada niat untuk “tunjuk pandai, tunjuk bijak” ketika melawan virus ini. Dalam suasana memerangi virus ini rakyat tidak perlu politikus. Rakyat mahu politikus jangan berpolitik, tapi bersatu memimpin orang ramai melawan virus ini hingga tumpas. Rakyat mahu kehidupan mereka dikembalikan seperti sedia kala.

3. Wajib disedari semua kenyataan yang kurang arif, kurang bijak dan tidak ilmiah oleh pimpinan parti, dari menteri, pegawai kerajaan, dari ketua agama, NGO atau sosok pembuat pandangan, akan mengelirukan orang ramai. Perkara yang tidak betul jangan dilakukan. Perkara yang tidak diketahui, tidak arif, jangan dilaporkan.

4. Kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan tidak perlu melakukan aksi politik. Tindakan politik pada ketika ini wajib dihentikan. Contohnya tidak perlu diganti ahli majlis, buang ketua kampung dan sebagainya. Kita tangguhkan semua ini.

Politikus sila tangguhkan berpolitik. Hakikatnya pada ketika ini jauhkan dari tindakan politik yang akan melahirkan pergeseran.

5. Wajib lima – kita semua warga Malaysia – tua, muda, jantan, betina, miskin, kaya – anak semua bangsa – bangsa semua agama, sedang berhadapan dengan musuh yang satu. Justeru pendekatan menggalang barisan bersatu yang ampuh adalah kewajipan kita bersama.

Dalam perang kita mendirikan united front. Kita mendobrak satu musuh yang sama.

Rakyat Malaysia – anak semua bangsa – sedang diduga. Dalam perang melawan virus ini, akan lahir kehodohan manusia. Dalam perang ini juga akan lahir keindahan kemanusian.

Selamat berkhalwat. Amin. – 31 Mac, 2020.

* Hishamuddin Rais adalah seorang aktivis politik dan penulis.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen