PUTRAJAYA masih belum sepenuhnya menjelaskan bagaimana ia akan membiayai pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM250 bertujuan untuk mengurangkan kesan wabak Covid-19, kata Transparency International Malaysia (TI-M).
Walaupun pengumuman pakej itu dialu-alukan, kerajaan Perikatan Nasional sepatutnya lebih teus dengan menjawab persoalan yang ditimbulkan banyak pihak, kata badan pemantau korupsi itu dalam satu kenyataan, hari ini.
“Bagaimanakah pakej rangsangan ini akan dibiayai? Lebih banyak penjelasan daripada kerajaan diperlukan tentang hal ini kerana penjelasan menteri kewangan setakat ini masih kabur.
“Apa mekanisme akan digunakan untuk memastikan ketelusan dalam pengedaran dana kepada perniagaan dan majikan?” soal TI-M.
TI-M juga mengingatkan kerajaan PN dan Kabinet yang mereka masih belum membuktikan mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.
Ia mendesak Putrajaya mempertimbangkan untuk mengadakan sidang khas Parlimen untuk memperdebatkan dan meluluskan pakej rangsangan itu.
“Ia bukan sahaja menunjukkan (wujud) ketelusan dalam kerajaan tetapi juga memberikan ia lebih kredibiliti.
“Kepercayaan bukan diraih dengan pemberian mewah dan gula-gula tetapi kejujuran dan ketelusan.”
Kerajaan PN diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dibentuk awal Mac lalu apabila pergelutan dan krisis politik parti komponen Pakatan Harapan tercetus.
TI-M juga berkata tidak ada penjelasan mengenai mekanisme pengedaran dana untuk majikan bagi membantu mereka terus menggaji pekerja.
Mekanisme ini perlu diperjelaskan bagi menghalang ketirisan yang menyebabkan manfaat pakej itu tidak diterima rakyat.
Di bawah pakej itu, sekitar RM128 bilion diperuntukkan kepada majikan dan RM100 bilion lagi untuk menyokong perniagaan termasuklah perusahaan kecil dan sederhana. Ini termasuklah skim subsidi upah kepada majikan supaya mereka tidak membuang pekerja mereka.
“Kerana inilah kerajaan perlu telus dan menjelaskan bagaimana dana ini akan diedarkan dan siapa yang terlibat supaya penjawat awam dan orang awam prihatin mengenainya serta dapat menyalurkan maklumat sekiranya sebarang kesalahan dikesan berlaku,” kata TI-M. – 31 Mac, 2020.
Komen