Pakej Prihatin bantu rakyat, perniagaan tangani kesan Covid-19, kata menteri


Pekerja membersihkan kawasan pasar Chow Kit di Kuala Lumpur. Prihatin yang diumumkan baru-baru ini akan dapat meringankan beban rakyat dan perniagaan terutama PKS akibat penularan Covid-19. – Gambbar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2020.

PAKEJ Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan baru-baru ini akan dapat meringankan beban rakyat dan perniagaan, terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menangani impak akibat penularan Covid-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata peruntukan sebanyak RM600 juta bagi perkhidmatan internet secara percuma misalnya dapat membantu industri telekomunikasi dan multimedia secara menyeluruh.

Malah, peruntukan tambahan RM400 juta bagi meningkatkan liputan rangkaian dan kapasiti untuk mengekalkan aspek kebolehsediaan dan kualiti jaringan telekomunikasi dan multimedia yang pastinya membantu pembangunan sektor ekonomi digital negara ini.

“Ini berdasarkan kepada jangkaan bahawa ekonomi digital ini akan terus menjadi antara penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Pakej Prihatin berjumlah RM250 bilion itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac lepas dan bertujuan melindungi kesejahteraan rakyat selain menyokong perniagaan termasuk PKS bagi menangani impak Covid-19.

Menurut Saifuddin, PRIHATIN itu juga seiring dengan gesaan kementerian supaya kalangan perusahaan mikro dan PKS beralih kepada platform digital untuk memastikan kelangsungan perniagaan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkata teras ketiga yang membabitkan agihan geran bernilai RM500 juta di bawah Skim Mikro-Kredit bagi membantu usahawan terbabit termasuk peniaga dalam talian dan industri kreatif, akan melonjakkan lagi pertumbuhan kedua-dua bidang tumpuan MDEC itu.

Beliau turut mengalu-alukan bantuan sekali RM500 kepada 120,000 pemandu e-hailing membabitkan peruntukan RM60 juta yang disifatkan turut meningkatkan peluang untuk pekerja ekonomi ‘gig’ yang mana pendapatam mereka turut terjejas. – Bernama, 30 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen