Syed Saddiq nafi duit hilang milik Bersatu


Mohd Farhan Darwis

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan berita tular bahawa RM250,000 hilang dari rumahnya dan wang tersebut milik Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2020.

BEKAS menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan berita tular mendakwa RM250,000 yang hilang dari peti besi di kediamannya adalah dana parti Bersatu.

Malah Ahli Parlimen Muar turut menjelaskan yang sehingga kini pihaknya tidak dapat mengesahkan jumlah sebenar wang yang didakwa hilang.

“Untuk masa ini, saya tidak dapat mengesahkan sebarang butiran atau spekulasi sehingga siasatan selesai.

“Laporan media RM250,000 tersebut merupakan wang Bersatu adalah tidak benar dan anggaran kecurian masih belum dapat disahkan,” kata Syed Saddiq, dalam satu kenyataan, selepas membuat laporan polis.

Beliau membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way, pada pukul 8.42 malam tadi.

Dalam kenyataannya, Syed Saddiq berkata, pihak polis dan forensik sudah hadir ke kediamannya untuk membuat siasatan selepas mendapat laporan.

“Saya telah membuat laporan polis terhadap kes kecurian yang berlaku di rumah saya, pihak polis dan forensik telahpun datang dan membuat siasatan di rumah sejak malam semalam.

“Saya harap semua pihak juga tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan berita yang tidak sahih kepada orang ramai,” kata Syed Sadiq, lagi.

Laporan polis antara lain menyebut kehilangan wang tunai dalam peti besinya itu disedarinya kira-kira pukul 7 malam, hari sebelumnya.

Kali terakhir beliau membuka peti besi tersebut adalah pada 13 atau 14 Mac lalu.

“Peti besi milik saya telah ditetapkan kod rahsia dan hanya orang tertentu sahaja yang tahu di mana saya simpan,” kata Syed Saddiq, dalam laporan polis dibuatnya.

Pihak polis juga mengesahkan telah menahan pembantu rumahnya, seorang wanita warga Indonesia bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal menjelaskan bahawa siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Syed Saddiq turut meminta TV3 meminta maaf kerana menyiarkan laporan kecurian yang tidak tepat.

“Saya ingin menegaskan petikan (kenyataan) saya itu adalah benar, namun saya tidak pernah menyatakan bahawa siasatan ini adalah berkenaan wang milik Bersatu.

“Malah, di dalam laporan polis yang telah saya lakukan pada 29 Mac, saya tidak pernah sesekali menyatakan bahawa wang tersebut adalah milik Bersatu, namun, tajuk berita itu adalah tidak benar sama sekali. 

“Maka, apabila pihak TV3 menyiarkan tajuk berita sebagai ‘Wang RM250,000 milik PPBM hilang dari kediaman Syed Saddiq’, ia telah mendatangkan akibat yang serius kepada kredibiliti saya sebagai pemimpin Armada dan Bersatu, menjatuhkan imej saya dan mendatangkan fitnah oleh pihak ketiga,” katanya lagi.

Beliau turut berharap laporan itu dapat dibetulkan dan perkara itu tidak dipanjangkan sehingga beliau terpaksa mengambil tindakan undang-undang. – 30 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen