2 lagi korban Covid-19


Mohd Farhan Darwis

Kementerian Kesihatan melaporkan seramai dua lagi kematian Covid-19 direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 37 orang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2020.

DUA lagi kematian direkodkan setakat 30 Mac, dengan pertambahan 156 kes baharu direkodkan dalam tempoh itu, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ia menjadikan keseluruhan 37 kes kematian dan 2,626 kes direkodkan di negara ini.

Menurutnya, 94 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 62 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sejak Februari 2020, iaitu sebelum kerajaan menguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, KKM sudah mengenalpasti sebanyak 57 hospital saringan dan 26 hospital yang menyediakan rawatan Covid-19. 

Pada ketika itu, jumlah kes positif Covid-19 adalah sebanyak 790 kes berbanding 2,626 kes pada hari ini. 

“Kini dengan pelbagai usaha terdapat peningkatan 70 hospital yang menyediakan perkhidmatan saringan Covid-19 di semua negeri berbanding 57 sebelum ini. 

“Hospital merawat Covid-19 bertambah daripada 26 ke 38 buah, melalui kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pihak hospital universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya,” katanya dalam sidang media khas berkaitan Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, tujuh daripada hospital tersebut merupakan hospital khusus untuk rawatan pesakit Covid-19.

Bilangan katil untuk rawatan Covid-19 juga bertambah kepada 3,994 buah katil. 

“KKM juga sedang merancang menambahkan bilangan katil menerusi pengenalpastian dan pengubahsuaian Institusi Latihan KKM (ILKKM) untuk menjadi pusat kuarantin dan rawatan dengan jumlah katil sebanyak 1,937 buah. 

“Kapasiti ILKKM masih boleh dipertingkatkan lagi jika perlu. Fasiliti lain juga turut dikenalpasti, misalnya Malaysian Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) berupaya menyediakan 600 katil,” katanya.  – 30 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen